- Iklan -
Luar Sana

NZ lanjutkan pengecualian duti eksais bahan api

Harga petrol di New Zealand, meningkat secara mendadak sejak serangan Rusia ke atas Ukraine yang bermula sejak setahun lalu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ketara inflasi.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo BP (British Petroleum) di salah sebuah stesen minyak, 30 Januari 2021. Gambar: Reuters
Logo BP (British Petroleum) di salah sebuah stesen minyak, 30 Januari 2021. Gambar: Reuters

New Zealand akan melanjutkan tempoh pengecualian duti eksais bahan api dan tambang pengangkutan awam sehingga akhir Jun, kata Perdana Menteri Chris Hipkins hari ini.

Langkah itu dibuat bagi memberikan kelegaan kepada keluarga yang bergelut dengan kos sara hidup yang lebih tinggi. 

Data rasmi yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan inflasi pengguna di New Zealand berada pada paras tertinggi dalam tempoh tiga dekad pada suku keempat dengan harga meningkat bagi pembinaan rumah dan utiliti, malah kos makanan diunjurkan semakin menaik.

Harga petrol di New Zealand, seperti di tempat lain, meningkat dengan mendadak sejak serangan Rusia ke atas Ukraine yang bermula sejak setahun lalu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ketara inflasi.

"Saya berkata isu-isu penting seperti kos sara hidup akan menjadi keutamaan saya," kata Hipkins, yang dipilih menerajui negara itu susulan peletakan jawatan Jacinda Ardern dan mungkin berdepan pilihan raya pada Oktober. 

"Ini adalah langkah pertama kami dalam menangani beberapa tekanan kos yang berterusan ke atas perniagaan dan keluarga."

Hipkins berkata, pengecualian duti eksais bahan api dan mengekalkan tambang separuh harga pengangkutan awam akan memberikan kelegaan kepada penduduk yang dilanda banjir di bandar terbesar di negara itu, Auckland. 

Kerajaan parti Buruh pada Mac 2022 memperkenalkan pengecualian duti eksais bahan api sebanyak 25 sen dan langkah sementara itu dilanjutkan sebanyak tiga kali. 

Katanya, langkah itu akan mengurangkan kos bahan api 60 liter sebanyak AS$11.10 (kira-kira RM47).

Diskaun untuk caj pengguna jalan raya – caj yang dikenakan ke atas pengguna kenderaan diesel –diperkenalkan semula dan akan diteruskan hingga 30 Jun. 

Menteri Kewangan Grant Robertson langkah-langkah itu dijangka menelan belanja kira-kira NZ$718 juta.

"Dengan ahli ekonomi meramalkan inflasi New Zealand kekal pada paras tertinggi lebih lama berbanding apa yang kita alami pada masa lalu, kami memutuskan untuk menyemak semula keputusan mengenai pakej sokongan pengangkutan," kata Robertson.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.