- Iklan -
Luar Sana

Gempa bumi di Turkiye, Syria kini ragut 3,800 nyawa

Lebih 12,000 orang dilaporkan cedera di Turkiye, kata agensi pengurusan bencana, manakala sekurang-kurangnya 3,411 orang cedera di Syria.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan susulan gempa bumi yang melanda bandar Sarmada, Syria, 6 Februari. Gambar: Reuters
Pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan susulan gempa bumi yang melanda bandar Sarmada, Syria, 6 Februari. Gambar: Reuters

Gempa bumi besar melanda Turkiye dan Syria, mengorbankan lebih 3,800 nyawa dan mengakibatkan beribu-ribu bangunan runtuh. 

Pasukan penyelamat berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat.

Berpuluh-puluh negara berjanji menghantar bantuan susulan gempa bumi berukuran 7.8 magnitud, malam semalam. Cuaca sejuk turut menghalang usaha menyelamat.

Bangunan pangsapuri bertingkat yang dipenuhi penduduk adalah antara 5,606 struktur yang menjadi runtuhan di Turkiye, manakala Syria mengumumkan berpuluh-puluh runtuhan, serta kerosakan di tapak arkeologi di Aleppo. 

“Itu adalah kali pertama kami mengalami perkara seperti itu,” kata Melisa Salman, seorang wartawan berusia 23 tahun di bandar Kahramanmaras di tenggara Turkiye. 

"Kami fikir ia adalah kiamat."

Ketua Pusat Gempa Nasional Syria, Raed Ahmed, menanggapnya sebagai "gempa bumi terbesar yang direkodkan dalam sejarah pusat itu". 

Gempa awal tersebut turut diikuti berpuluh-puluh gegaran susulan, termasuk gegaran 7.5 magnitud yang menggegarkan wilayah itu di tengah-tengah kerja mencari dan menyelamat semalam. 

“Kami berjaya menyelamatkan tiga orang, tetapi dua maut,” kata Halis Aktemur, 35, di bandar Diyarbakir di tenggara Turkiye selepas gempa bumi yang dirasai sejauh Greenland. 

Di bandar Sanliurfa di tenggara Turkiye, pasukan penyelamat bekerja pada waktu malam untuk cuba mengeluarkan mangsa yang terselamat dari serpihan bangunan tujuh tingkat yang runtuh. 

“Ada keluarga yang saya kenali di bawah runtuhan,” kata pelajar Syria berusia 20 tahun, Omer El Cuneyd.

"Sehingga jam 11 pagi atau tengah hari, saya cuba menghubungi kawan. Tetapi dia tidak lagi menjawab. Dia ada di bawah sana." 

Walaupun suhu jatuh di bawah sifar, penduduk yang ketakutan di bandar itu bersiap sedia untuk bermalam di jalanan, berkerumun di sekeliling api untuk mendapatkan kehangatan. 

Berdekatan itu, Mustafa Koyuncu sedang duduk bersesak di dalam kereta bersama isteri dan lima anaknya, bimbang untuk bergerak. 

"Kami menunggu di sini kerana kami tidak boleh pulang ke rumah," kata lelaki berusia 55 tahun itu kepada AFP.

"Semua orang takut."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.