- Iklan -
Luar Sana

Ada 'petunjuk kukuh' Putin luluskan bekalan peluru berpandu MH17, menurut penyiasat

Tetapi tidak ada prospek realistik untuk mendakwa presiden Rusia atau orang lain, kata pasukan penyiasat.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: Reuters
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: Reuters

Presiden Rusia Vladimir Putin mungkin memberi kelulusan bagi membekalkan peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine, menurut penyiasat.

Bagaimanapun, tidak ada prospek realistik untuk mendakwanya atau orang lain, tambah mereka.

Penyiasat berkata, berdasarkan panggilan telefon yang dipintas, terdapat "petunjuk kukuh" Putin secara peribadi meluluskan pemindahan peluru berpandu kepada pemisah pro-Rusia semasa pertempuran di timur Ukraine pada 2014.

Namun siasatan sedang digantung selepas "semua petunjuk habis" selepas pesawat itu ditembak dan terhempas sehingga mengorbankan semua 298 nyawa di dalamnya.

Pengumuman itu dibuat kurang daripada tiga bulan selepas mahkamah Belanda mensabitkan kesalahan terhadap dua warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine kerana membunuh mereka yang menaiki MH17.

"Terdapat petunjuk kukuh presiden Rusia memutuskan untuk membekalkan Buk Telar kepada pemisah DPR (Republik Rakyat Donetsk)," kata pasukan penyiasat yang terdiri daripada enam negara itu dalam satu kenyataan.

Pegawai Rusia malah menangguhkan keputusan untuk menghantar senjata kepada pemisah Ukraine kerana Putin berada pada ulang tahun peringatan D-Day di Perancis pada Jun 2014, kata penyiasat.

Mereka memainkan semula panggilan telefon dipintas daripada penasihat yang mengatakan kelewatan itu "kerana cuma ada seorang sahaja yang membuat keputusan… orang yang kini berada di sidang kemuncak di Perancis."

Putin bagaimanapun mendapat manfaat daripada imuniti sebagai ketua negara, menjadikan sebarang usaha untuk mendakwa pemimpin Rusia itu mustahil, kata penyiasat.

Tambah mereka, "walaupun kita bercakap tentang petunjuk yang kukuh, bukti lengkap tahap tinggi dan konklusif tidak dapat dicapai" berhubung dengan Putin.

Semua petunjuk habis

Anggota pasukan penyiasat bersama itu terdiri daripada negara Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, negara yang paling teruk terjejas akibat nahas pesawat Boeing 777 itu.

Penyiasat sebelum ini berkata mereka ingin tahu siapa sebenarnya yang membawa peluru berpandu BUK itu, dan siapa yang berada dalam rantaian arahan. Peluru berpandu itu didakwa dibawa dari pangkalan tentera Rusia di bandar Kursk.

Tetapi mereka mengaku ianya tidak mungkin boleh diketahui buat masa ini.

"Siasatan kini sudah mencapai hadnya, semua petunjuk kini telah habis, oleh itu siasatan digantung," kata Pendakwa Raya Belanda, Digna van Boetzelaer pada sidang media di The Hague.

"Bukti tidak mencukupi untuk lebih banyak pendakwaan."

Tahun lepas, Rusia menolak keputusan Belanda, berkata ia sebagai "skandal" dan bermotifkan politik.

Moscow secara konsisten menafikan sebarang penglibatan dalam penembakan MH17.

Hakim pada perbicaraan tahun lepas berkata peluru berpandu itu datang dari Rusia dan tiga suspek itu merupakan sebahagian daripada kumpulan pemisah pro-Moscow

Bagaimanapun, tambah hakim, mereka hanya membantu membawa peluru berpandu itu ke Ukraine dan tidak melancarkan serangan terhadap pesawat tersebut.

Pada 2019, penyiasat antarabangsa mengeluarkan panggilan telefon yang dipintas menunjukkan apa yang mereka katakan sebagai hubungan antara pemberontak dan pegawai Rusia "berpangkat tinggi", termasuk Vladislav Surkov, pembantu utama Putin.

Mangsa bencana itu terdiri daripada 10 negara, termasuk 196 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia dan 38 penduduk Australia.