- Iklan -
Luar Sana

Australia tanggal kamera buatan China di bangunan kerajaan

Ia berikutan langkah sama diambil Amerika Syarikat (AS) dan Britain kerana kebimbangan terhadap syarikat China yang boleh dipaksa untuk berkongsi maklumat risikan dengan perkhidmatan keselamatan Beijing.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Kamera litar tertutup buatan syarikat Hikvision and Dahua diletakkan menghadap jalan digunakan sebagai pemantauan susulan penularan penyakit Covid-19 di Beijing, China, 11 Mei 2020. Gambar: Reuters
Kamera litar tertutup buatan syarikat Hikvision and Dahua diletakkan menghadap jalan digunakan sebagai pemantauan susulan penularan penyakit Covid-19 di Beijing, China, 11 Mei 2020. Gambar: Reuters

Australia akan menurunkan semua kamera litar tertutup buatan China di beberapa bangunan kerajaan bagi memastikan ia "selamat sepenuhnya", kata menteri pertahanan negara itu hari ini. 

Ia berikutan langkah sama di Amerika Syarikat (AS) dan Britain, yang mana kedua-duanya mengambil langkah menghentikan pemasangan kamera buatan China di jabatan kerajaan dan tapak sensitif.

Britain mengambil langkah tersebut pada November tahun lalu kerana kebimbangan syarikat China boleh dipaksa untuk berkongsi maklumat risikan dengan perkhidmatan keselamatan Beijing. 

Kamera litar tertutup itu dipasang di lebih 200 bangunan kerajaan Australia – menurut angka rasmi yang disusun oleh ahli politik pembangkang – termasuk sekurang-kurangnya satu yang dikendalikan oleh Jabatan Pertahanan. 

Menteri Pertahanan Australia Richard Marles berkata pegawai akan mencari dan mengalih keluar semua kamera yang ditemui dalam koleksi pejabat dan kemudahan jabatan pertahanan.

"Ia sangat penting dan dibawa kepada perhatian kami dan kami akan menurunkannya," katanya kepada penyiar berita tempatan ABC. 

"Adalah penting untuk kami menukarnya dan memastikan kemudahan kami benar-benar selamat."

Memorial Perang negara yang dibiayai kerajaan – sebuah kompleks seluas 14 hektar (35 ekar) yang luas di Canberra – juga mengesahkan ia akan menurunkan sebilangan kecil kamera buatan China sebagai langkah "berwaspada". 

Kamera itu dibuat oleh syarikat Hikvision and Dahua, di mana kedua-duanya disenaraihitamkan di AS. 

Negara itu mengharamkan pengimportan peralatan pengawasan yang dibuat oleh Hikvision and Dahua pada November tahun lalu kerana ia menimbulkan "risiko yang tidak boleh diterima kepada keselamatan negara".

Di Britain, sekumpulan 67 ahli parlimen dan pembesar menggesa kerajaan mengharamkan Hikvision and Dahua pada Julai tahun lalu, berikutan laporan peralatan mereka digunakan untuk mengintip Uyghur di Xinjiang. 

Kamera buatan Hikvision berjaya merakam tindakan bekas setiausaha kesihatan Matt Hancock yang didakwa mencium seorang pembantunya ketika peraturan Covid-19 dikuatkuasakan pada Jun 2021, yang membawa kepada peletakan jawatannya. 

Hikvision sebelum ini berkata adalah "sangat tidak betul" untuk menuduh syarikat itu sebagai "ancaman kepada keselamatan negara". 

Kerajaan berhaluan tengah Australia cuba membaiki hubungannya dengan China sejak berkuasa pada Mei tahun lalu. 

China mengenakan tarif tinggi ke atas eksport utama Australia pada 2020 pada kemuncak pertikaian sengit dengan bekas kerajaan konservatif itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.