- Iklan -
Luar Sana

Erdogan mengaku ada masalah tindak balas ketika jumlah korban gempa melebihi 15,000

Agak mustahil untuk bersedia dengan bencana seperti ini, kata presiden Turkiye.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai duduk di sekitar unggun api berdekatan runtuhan bangunan akibat gempa bumi di Kahramanmaras, Turkiye, 8 Februari. Gambar: Reuters
Orang ramai duduk di sekitar unggun api berdekatan runtuhan bangunan akibat gempa bumi di Kahramanmaras, Turkiye, 8 Februari. Gambar: Reuters

Angka kematian akibat gempa bumi besar yang melanda Turkiye dan Syria meningkat melebihi 15,000 hari ini, ketika penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah serpihan runtuhan bangunan. 

Pegawai dan pengamal perubatan berkata 12,391 orang maut di Turkiye dan 2,992 di Syria susulan gempa bumi dengan magnitud 7.8 Isnin lalu. Ini menjadikan jumlah korban meningkat kepada 15,383.

Bencana berskala besar yang meranapkan ribuan bangunan, memerangkap mangsa yang tidak diketahui jumlahnya, sudah menimbulkan lebih tekanan buat pasukan penyelamat yang turut berdepan cuaca sejuk.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Rabu mengakui adanya "kekurangan" selepas tindak balas kerajaannya dikritik susulan gempa bumi besar yang meragut lebih 15,000 nyawa setakat ini di Turkiye dan Syria.

Mereka yang terselamat dibiarkan berebut-rebut untuk mendapatkan makanan dan tempat tinggal. Malah dalam beberapa kes ada yang hanya dapat melihat dari jauh saudara-mara mereka memanggil untuk diselamatkan sebelum akhirnya terdiam di bawah serpihan runtuhan.

"Anak saudara saya, ipar saya ada di bawah runtuhan. Mereka terperangkap, tiada tanda-tanda kehidupan," kata Semire Coban, guru tadika, di Hatay, Turkiye.

"Kami tidak dapat capai mereka. Kami cuba bercakap dengan mereka, tetapi mereka tidak bertindak balas... Kami sedang tunggu bantuan. Sekarang sudah 48 jam," katanya.

Namun, pasukan pencari terus mengeluarkan mangsa-mangsa yang terselamat selepas tiga hari gempa bumi 7.8 magnitud itu berlaku, yang kini sudah menjadi antara yang paling dahsyat pada abad ini, ditambah pula dengan jumlah kematian yang kian meningkat.

Ketika kritikan meningkat dalam talian, Erdogan melawat salah satu tempat yang paling teruk dilanda, pusat gempa Kahramanmaras, dan mengakui adanya masalah dalam tindak balas kerajaannya.

"Sudah tentu ada kekurangan. Jelas sekali boleh dilihat. Agak mustahil untuk bersedia dengan bencana seperti ini," katanya.

Twitter juga tidak berfungsi pada rangkaian mudah alih di Turkiye, menurut wartawan AFP dan kumpulan pemantau web NetBlocks.

Kematian setiap saat

Disebabkan skala kerosakan dan kekurangan bantuan, mangsa yang selamat berkata mereka berasa kesepian berhubung tindak balas kerajaan terhadap bencana tersebut.

"Bangunan yang tidak runtuh pun rosak teruk. Kini lebih ramai orang di bawah runtuhan berbanding di atasnya," kata seorang penduduk bernama Hassan, yang tidak memberikan nama penuhnya, di bandar Jindayris yang dikuasai pemberontak.

"Terdapat kira-kira 400 hingga 500 orang terperangkap di bawah setiap bangunan yang runtuh, tetapi cuma ada 10 orang cuba menarik mengeluarkan mereka. Tiada jentera," tambahnya.

White Helmets yang mengetuai usaha menyelamat di kawasan yang dikuasai pemberontak di Syria, telah merayu bantuan antarabangsa.

Mereka telah bertungkus lumus sejak gempa itu untuk mengeluarkan mangsa terselamat di kawasan barat laut Syria yang masih dilanda perang.

Seorang pegawai terkemuka PBB menggesa kemudahan akses bantuan ke kawasan yang dikuasai pemberontak di barat laut, memberi amaran stok bantuan akan segera habis.

“Ketepikan politik dan biarkan kami buat kerja kemanusiaan kami,” kata penyelaras PBB yang menetap di Syria El-Mostafa Benlamlih kepada AFP.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.