- Iklan -
Luar Sana

AS gesa PBB luluskan lebih banyak akses bantuan ke Syria melalui Turkiye

Satu resolusi memerlukan sembilan undi menyokong dan tidak memerlukan kuasa veto Rusia, China, AS, Britain atau Perancis untuk diluluskan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki memandu lori yang sarat dengan bantuan kemanusiaan daripada Hizbullah ke Syria yang dilanda gempa bumi, di pinggir bandar Beirut, Lubnan 12 Februari. Gambar: Reuters
Seorang lelaki memandu lori yang sarat dengan bantuan kemanusiaan daripada Hizbullah ke Syria yang dilanda gempa bumi, di pinggir bandar Beirut, Lubnan 12 Februari. Gambar: Reuters

Amerika Syarikat (AS) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk "melakukan undian" bagi membenarkan penghantaran bantuan PBB ke barat laut Syria yang dikuasai pemberontak melalui lebih banyak pintu sempadan dari Turkiye susulan gempa bumi minggu lalu. 

Sejak 2014 PBB dapat menyampaikan bantuan kepada berjuta-juta orang yang memerlukan di bahagian barat laut Syria yang dilanda perang melalui Turkiye menerusi mandat Majlis Keselamatan. 

Bagaimanapun, pada masa ini pertubuhan dunia itu dihadkan untuk menggunakan hanya satu pintu sempadan sahaja. 

"Buat masa ini, setiap jam adalah penting," kata Linda Thomas-Greenfield, duta AS ke PBB, dalam satu kenyataan kepada Reuters. 

"Orang ramai di kawasan yang terjejas bergantung kepada kita." 

"Kita tidak boleh mengecewakan mereka – kita mesti mengundi segera pada resolusi untuk menyahut seruan PBB untuk membenarkan pintu sempadan tambahan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan," katanya. 

"Sudah tiba masanya untuk bergerak dengan segera." 

Ketua bantuan PBB Martin Griffiths, yang berada di Turkiye dan dijangka melawat Syria, memberitahu Sky News pada hari Sabtu bahawa beliau akan meminta Majlis Keselamatan untuk membenarkan akses bantuan melalui dua lagi pintu sempadan, dengan alasan terdapat "kes kemanusiaan yang sangat jelas."

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Khamis mendesak untuk mendapatkan lebih banyak akses.

Gagal

Brazil dan Switzerland antara 15 anggota Majlis Keselamatan mengetuai rundingan sebarang tindakan yang berkaitan dengan isu akses bantuan kemanusiaan Syria. 

Diplomat berkata tiada draf resolusi masih diedarkan untuk membenarkan lebih banyak pembukaan pintus sempadan. 

Angka kematian akibat gempa bumi minggu lalu di Turkiye dan Syria melepasi 33,000. Daripada jumlah itu 3,500 kematian dilaporkan di Syria setakat ini, di mana jumlah itu tidak dikemas kini selama dua hari, yang sebahagian besarnya berlaku di bahagian barat laut negara itu. 

Satu resolusi memerlukan sembilan undi menyokong dan tidak memerlukan kuasa veto Rusia, China, AS, Britain atau Perancis untuk diluluskan. 

Rusia sekutu Syria berkata bahawa mandat majlis sedia ada untuk satu pintu sempadan adalah mencukupi. 

Kerajaan Syria melihat penghantaran bantuan merentasi sempada negara itu tanpa kelulusan sebagai pencabulan kedaulatan dan berkata bantuan harus disampaikan merentasi kawasan yang berdepan dengan perang saudara lebih sedekad. 

Pada Jumaat ia meluluskan penghantaran bantuan di seluruh barisan hadapan. 

Namun PBB berkata, bantuan gempa bumi dari kawasan yang dikuasai kerajaan Syria ke bahagian barat laut negara itu ditahan berhubung "isu kelulusan".

Duta besar Brazil dan Switzerland berkata mereka mahu Griffiths memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan sebelum sebarang tindakan dibincangkan. 

Diplomat berkata Griffiths mungkin dijangka bercakap dengan mereka hari ini. 

Griffiths melawat satu pintu sempadan di Turkiye yang mana PBB diberi kuasa pada masa ini untuk menghantar bantuan ke barat laut Syria, di mana kira-kira empat juta orang memerlukan bantuan susulan gempa bumi melanda wilayah itu. 

“Kami setakat ini mengecewakan rakyat di barat laut Syria,” tulis Griffiths dalam satu catatan di Twitter.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.