- Iklan -
Luar Sana

Junta tentera Myanmar benarkan ‘rakyat setia’ bawa senjata api

Ia susulan dokumen sulit Kementerian Dalam Negeri yang dibocorkan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera Myanmar melakukan perarakan sempena hari Angkatan Tentera ke-72 negara itu di Naypyitaw, Myanmar, 27 Mac 2017. Gambar: Reuters
Tentera Myanmar melakukan perarakan sempena hari Angkatan Tentera ke-72 negara itu di Naypyitaw, Myanmar, 27 Mac 2017. Gambar: Reuters

Pemerintah tentera Junta Myanmar membenarkan orang awam yang “setia kepada negara” memohon lesen untuk membawa senjata api, menurut laporan media dan dokumen sulit kerajaan yang dibocorkan.

Dokumen yang dikatakan daripada Kementerian Dalam Negeri, sudah disemak oleh Reuters dan media lain. 

Menurut dokumen itu, kerajaan menetapkan kriteria bagi mereka yang ingin mendapatkan lesen senjata api. 

Pakar bimbang dengan membenarkan orang awam membawa senjata akan memperkasakan kumpulan pro-junta dan hanya meningkatkan keganasan dan pertempuran hampir setiap hari antara tentera dan pasukan penentang bersenjata di seluruh negara. 

Syarat-syarat yang dinyatakan dalam dokumen itu termasuk individu berumur 18 tahun dan ada keperluan yang boleh dibuktikan untuk memiliki senjata bagi tujuan keselamatan, sebagai tambahan kepada keperluan kesetiaan. 

Reuters tidak mendapat sebarangan pengesahan mengenai dokumen setebal 15 muka surat itu, dan bila undang-undang tersebut akan dikuatkuasakan.

Dokumen itu memperuntukkan anggota anti-pemberontakan, militia yang ditubuhkan secara rasmi dan mereka yang bersara daripada tentera untuk membawa pistol, senapang dan senapang ringan selagi mereka mempunyai permit sedemikian. 

Ia menambah bahawa kerajaan tentera akan mempunyai hak untuk mengimport dan menjual senjata api dan peluru yang dilesenkan oleh Kementerian Pertahanan. 

Junta tentera mengetuai rampasan kuasa pada Februari 2021, sekali gus menggulingkan kerajaan sedia ada pimpinan Aung San Su Kyi.

Kumpulan pemantau konflik yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Acled berkata, kira-kira 19,000 orang terkorban tahun lalu kerana tindakan keras tentera terhadap protes menyebabkan ramai penunjuk perasaan menentang junta. 

Kira-kira 1.2 juta orang hilang tempat tinggal susulan persengketaan dan lebih 70,000 meninggalkan negara itu, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang menuduh tentera melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.