Filipina pada Selasa memfailkan bantahan diplomatik menggesa Beijing memastikan kapalnya menghentikan "aktiviti agresif" selepas Manila menuduh pengawal pantai China menggunakan laser bagi menghalang salah satu kapalnya di Laut China Selatan.
Pengawal pantai Filipina berkata pada Isnin sebuah kapal pengawal pantai China mengarahkan "laser gred tentera" ke salah satu kapal Manila yang dalam misi pembekalan semula kepada tentera di perairan yang dipertikaikan pada 6 Februari, membutakan buat sementara krunya.
"Tindakan pencerobohan oleh China ini membimbangkan dan mengecewakan kerana ia dibuat selepas lawatan Presiden Ferdinand R. Marcos Jr ke China bertemu Presiden Xi Jinping pada awal Januari yang mana bersetuju menguruskan perbezaan maritim melalui diplomasi dan dialog," kata Jurucakap Hal Ehwal Luar Filipina Teresita Daza dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kementerian berkata kapal China itu melakukan tindakan berbahaya dengan mengikuti rapat kapal Filipina, berisiko berlanggar yang membahayakan anak kapal, selain mengeluarkan "cabaran radio haram" menuntut kapal Filipina meninggalkan kawasan itu.
Tindakan kapal pengawal pantai China adalah ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan Filipina dan negara itu mempunyai hak prerogatif untuk menjalankan aktiviti yang sah dalam zon ekonomi eksklusifnya, kata kementerian itu.
Tiada komen segera daripada kedutaan China di Manila, tetapi kementerian luar China berkata pada Isnin yang pengawal pantainya telah menjalankan tindakan mengikut undang-undang.
"Kami menggesa Filipina untuk mengelakkan tindakan sedemikian. Tindakan kakitangan China adalah profesional dan terkawal," kata Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin.
Pengawal pantai Filipina menyokong misi tentera laut untuk menghantar makanan dan bekalan kepada tentera di Second Thomas Shoal, 195 km dari wilayah Palawan Filipina.
Dikenali sebagai Ayungin, beting itu adalah rumah kepada kontinjen tentera Filipina yang kecil di atas kapal Perang Dunia Kedua yang sengaja diletakkan di beting itu pada 1999 bagi mengukuhkan tuntutan kedaulatan Manila di kepulauan Spratly.
China menuntut hampir semua Laut China Selatan, termasuk kawasan sekitar kepulauan Spratly.
Filipina telah memfailkan 203 nota diplomatik terhadap China sejak tahun lalu, menurut data kementerian luar.