- Iklan -
Berita

Pegawai cukai serbu pejabat BBC India selepas siar dokumentari kritik PM

Polis mengawal ketat bangunan itu dan enam pegawai ditempatkan di luar pejabat dua tingkat tersebut bagi menghalang orang keluar masuk.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menonton dokumentari BBC bertajuk 'India: The Modi Question', pada skrin yang dipasang di persimpangan Marine Drive di bawah arahan jawatankuasa Kongres daerah, di Kochi pada 24 Januari. Gambar: AFP
Orang ramai menonton dokumentari BBC bertajuk 'India: The Modi Question', pada skrin yang dipasang di persimpangan Marine Drive di bawah arahan jawatankuasa Kongres daerah, di Kochi pada 24 Januari. Gambar: AFP

Pegawai cukai India melakukan serbuan ke atas pejabat biro BBC di New Delhi dan Mumbai hari ini, dua sumber memberitahu Reuters, beberapa minggu selepas kerajaan menentang dokumentari penyiar rasmi United Kingdom itu yang mengkritik peranan Perdana Menteri Narendra Modi dalam rusuhan Gujerat pada 2002. 

Dokumentari itu memberi tumpuan kepada kepimpinan ahli politik nasionalis Hindu itu sebagai ketua menteri di barat negara berkenaan sewaktu rusuhan berdarah antara kaum, di mana sekurang-kurangnya berpuluh-puluh orang Islam terbunuh. 

Jabatan cukai mahupun BBC bagaimanapun tidak memberi ulasan lanjut mengenai perkara itu. 

Salah satu sumber di pejabat BBC New Delhi berkata pegawai cukai sedang bercakap dengan pegawai akaun dan tiada sesiapa dibenarkan keluar. 

Semasa serbuan sedang dijalankan, kru berita televisyen bersiap sedia di luar pejabat berhampiran Connaught Place, di tengah Delhi, untuk melaporkan perkembangan.

Bulan lalu, polis di Delhi menahan pelajar ketika mereka berkumpul untuk menonton dokumentari yang dianggap kerajaan sebagai propaganda. 

Kementerian Luar India pada Januari lalu berkata dokumentari itu bertujuan untuk menolak "naratif yang tidak dikreditkan", berat sebelah, tidak mempunyai objektif dan menunjukkan "minda penjajah yang berterusan". BBC tetap dengan laporannya untuk dokumentari itu. 

Modi memerintah Gujarat selama sedekad sebelum menjadi perdana menteri pada 2014. 

Tuduhan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan rusuhan menjejaskan kerjaya politiknya. 

Modi sentiasa menafikan sebarang salah lakunya. Pada 2013, panel yang dilantik oleh Mahkamah Agung berkata tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.