- Iklan -
Luar Sana

Pesawat Saudi bawa bantuan mendarat di Syria, pertama kali sejak 2012

Dua lagi pesawat Saudi dijadualkan mendarat pada Rabu dan Khamis, menurut pegawai kementerian pengangkutan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Pesawat bantuan Arab Saudi mendarat di Aleppo, dalam usaha menolong mangsa gempa bumi di Syria, 14 Februari. Gambar: Reuters
Pesawat bantuan Arab Saudi mendarat di Aleppo, dalam usaha menolong mangsa gempa bumi di Syria, 14 Februari. Gambar: Reuters

Sebuah pesawat Arab Saudi yang membawa bantuan untuk gempa bumi ke Syria mendarat di Aleppo pada Selasa, pertama kali sejak lebih sedekad perang, kata pegawai kementerian pengangkutan kepada AFP.

Bebrapa pesawat bantuan asing mendarat di Syria sejak gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda negara yang dilanda perang itu dan Tukiye yang mengorbankan lebih 37,000 orang setakat ini.

“Ini adalah pesawat pertama dari Arab Saudi mendarat di wilayah Syria dalam tempoh lebih 10 tahun,” kata pegawai itu yang enggan namanya didedahkan kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.

Pesawat Saudi itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo dengan membawa 35 tan bantuan makanan, lapor agensi berita negara SANA.

Dua lagi pesawat Saudi dijadualkan mendarat pada Rabu dan Khamis, menurut seorang lagi pegawai kementerian pengangkutan, Suleiman Khalil kepada AFP.

Penerbangan seumpama kali terakhir mendarat di Syria pada Februari 2012.

Selepas lebih sedekad perang, kerajaan Presiden Bashar al-Assad kekal sebagai pariah di Barat, merumitkan usaha antarabangsa membantu mangsa yang terjejas oleh gempa bumi.

Liga Arab menyekat Syria pada 2011 dan beberapa negara Arab, termasuk Arab Saudi, telah memutuskan hubungan.

Arab Saudi memutuskan hubungan dengan kerajaan Presiden Bashar al-Assad pada 2012 dan menyokong pemberontak pada permulaan perang.

Riyadh menjanjikan bantuan kepada kawasan yang dikuasai pemberontak dan kerajaan di negara itu.

Pada Sabtu, ia menghantar konvoi pertolongan cemas sebanyak 11 trak ke barat laut Syria yang dikuasai pemberontak, dimuatkan dengan 104 tan makanan dan kain, kata Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Tiada hubungan langsung dengan kerajaan Assad, kata seorang pegawai di Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman kepada AFP sebelum ini.

Lebih 3,600 orang telah terbunuh akibat gempa bumi di Syria sahaja, menurut kerajaan dan perkhidmatan kecemasan di barat laut yang dikuasai pemberontak.

Wilayah Aleppo yang kebanyakannya dikawal kerajaan terjejas teruk, dengan lebih 200,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Sejak 2011, konflik di Syria telah membunuh hampir setengah juta orang dan memaksa kira-kira separuh daripada penduduk meninggalkan rumah mereka, dengan ramai yang berlindung di Turkiye.

Malah sebelum gempa bumi Isnin lalu, majoriti penduduk sudah memerlukan bantuan kemanusiaan. Bencana terbaru ini hanya menambahkan kesengsaraan mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.