- Iklan -
Luar Sana

Taufan Gabrielle: New Zealand isytihar darurat

Ini adalah kali ketiga New Zealand mengisytiharkan darurat – dua lagi ialah ketika serangan Christchurch 2019 dan pandemik Covid-19 pada 2020.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki menyusun beg pasir untuk melindungi sebuah gudang sebagai persiapan sebelum Taufan Gabriele membadai Auckland, New Zealand, 12 Februari. Gambar: Reuters
Seorang lelaki menyusun beg pasir untuk melindungi sebuah gudang sebagai persiapan sebelum Taufan Gabriele membadai Auckland, New Zealand, 12 Februari. Gambar: Reuters

Kerajaan New Zealand mengisytiharkan darurat susulan Taufan Gabrielle melanda Pulau Utara dalam apa yang disifatkan pegawai sebagai bencana alam yang "belum pernah berlaku sebelum ini". 

Menteri Pengurusan Kecemasan Kieran McAnulty menandatangani pengisytiharan dibuat ketika pasukan perkhidmatan kecemasan bergelut untuk menanganinya berikutan hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik.

"Ini adalah peristiwa cuaca yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang mempunyai kesan besar di kebanyakan Pulau Utara," kata McAnulty. 

"Kita semua menghadapi banjir besar, kegelinciran, jalan raya dan infrastruktur yang rosak." 

Ini adalah kali ketiga New Zealand mengisytiharkan darurat – dua lagi ialah ketika serangan Christchurch 2019 dan pandemik Covid-19 pada 2020.

Air banjir dan tanah runtuh memusnahkan banyak penempatan di seluruh negara termasuk beberapa kediaman berhampiran Auckland, bandar terbesar di negara itu. 

"Ini adalah bencana besar dengan ancaman sebenar kepada nyawa penduduk New Zealand," kata McAnulty, sambil menambah bahawa darurat akan berkuat kuasa selama tujuh hari.

Beliau berkata lebih banyak hujan dan angin kencang dijangka menjejaskan usaha menyelamat.

"Laporan yang datang semalaman sangat membimbangkan," kata McAnulty kepada pemberita.

"Perkhidmatan kecemasan bekerja siang dan malam, tetapi disebabkan keadaan tanah yang tidak stabil, air banjir dan jalan yang ditutup menyukarkan keadaan."

Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan New Zealand berkata seorang anggotanya hilang dan seorang lagi berada dalam keadaan kritikal selepas sebuah rumah runtuh di Auckland Barat. 

"Ia adalah malam yang sukar untuk Pulau Utara secara keseluruhan termasuk memadamkan kebakaran dan misi kecemasan," kata Kerry Gregory, ketua eksekutif perkhidmatan bomba. 

McAnulty berkata beliau bimbang dengan keadaan dua anggota Bomba itu dan menggesa warga New Zealand "mengutamakan keselamatan" dengan beberapa komuniti dipindahkan. 

Cuaca buruk itu menyebabkan beberapa penerbangan terkandas semalam, namun New Zealand Air menjangkakan beberapa perkhidmatan akan disambung semula pada petang Selasa. 

Perdana Menteri Chris Hipkins mengumumkan pakej bantuan sebanyak NZ$11.5 juta (AS$7.25 juta, RM31.91 juta) untuk membantu usaha pemulihan, tetapi McAnulty mengakui kos pembersihan akan meningkat.

"Sejujurnya ia bukan mudah, tetapi bukan itu yang kami bimbang sekarang," tambahnya. 

Auckland, yang menjadi penempatan kepada 1.6 juta penduduk, bergelut untuk mengatasi kerosakan selepas banjir meragut empat nyawa pada akhir Januari sebelum ribut terbaharu membadai bandar itu.

Agensi pengurusan kecemasan negara menganggarkan 58,000 orang di seluruh Pulau Utara terputus bekalan elektrik semalam ketika kerja terus giat dijalankan bagi menyambung semula bekalan kuasa.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.