- Iklan -
Luar Sana

China, Iran komited mantapkan perkongsian strategik komprehensif

China tentang kuasa asing campur urusan dalaman Iran serta menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara itu, kata Xi Jinping.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera China dan Iran berkibar di Dataran Tiananmen semasa lawatan Presiden Iran Ebrahim Raisi ke Beijing, 14 Februari. Gambar: Reuters
Bendera China dan Iran berkibar di Dataran Tiananmen semasa lawatan Presiden Iran Ebrahim Raisi ke Beijing, 14 Februari. Gambar: Reuters

China komited memperluas kerjasama muhibah dengan Iran dan terus memajukan perkongsian strategik komprehensif, walau apa jua perubahan yang berlaku dalam situasi antarabangsa dan serantau.

Demikian kata Presiden China Xi Jinping ketika mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Ebrahim Raisi di Beijing pada Selasa.

“China menyokong Iran memelihara kedaulatan negara, keutuhan wilayah dan maruah bangsa serta usaha negara itu dalam melawan unilateralisme dan pembulian.

“China menentang kuasa asing mencampuri urusan dalaman Iran serta menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara itu,” kata beliau.

Xi menyatakan hasrat untuk bersama Iran melaksanakan sepenuhnya pelan kerjasama komprehensif bilateral di samping memperdalam kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertanian, perindustrian dan infrastruktur.

Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap keinginan Iran untuk membaik pulih hubungan dengan negara jiran serta menyokong negara serantau menyelesaikan percanggahan menerusi dialog dan perundingan.

“China akan terus menyertai secara konstruktif rundingan mengenai pemulihan perjanjian isu nuklear Iran,” tambah Xi.

Sementara itu, Raisi menzahirkan iltizam Iran bagi memantapkan lagi perkongsian strategik komprehensif dengan China.

Menurutnya, Iran bersedia meningkatkan pertukaran pelbagai peringkat dengan China dan mempergiat kerjasama pragmatik melibatkan bidang seperti perdagangan dan infrastruktur.

Raisi turut menzahirkan sokongan kukuh terhadap Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dan Inisiatif Keselamatan Global (GSI) yang disarankan China.

“Iran bersedia memperkasakan komunikasi dengan China dalam urusan serantau dan antarabangsa, selain mengekalkan sinergi di peringkat multilateral demi memelihara keadilan antarabangsa serta kedamaian dan keselamatan serantau mahupun dunia,” katanya.