- Iklan -
Luar Sana

Kereta api bawa bahan kimia tergelincir, penduduk Ohio suara kebimbangan

Tumpahan vinyl chloride setakat Rabu lalu telah membunuh kira-kira 3,500 ikan, dengan haiwan peliharaan mungkin turut terdedah dengan bahan kimia itu, menurut jabatan sumber asli.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar dari dron menunjukkan kereta api tergelincir di East Palestine, Ohio, Amerika Syarikat, 6 Februari. Gambar: Reuters
Gambar dari dron menunjukkan kereta api tergelincir di East Palestine, Ohio, Amerika Syarikat, 6 Februari. Gambar: Reuters

Penduduk di sekitar East Palestine di Ohio, Amerika Syarikat (AS) sudah boleh kembali ke rumah masing-masing selepas keadaan disahkan selamat, susulan insiden kereta api yang membawa 150 gerabak mengandungi bahan kimia berbahaya tergelincir dari landasan pada 3 Februari lalu, lapor Xinhua.

Bagaimanapun, seorang penduduk memberitahu media tempatan bahawa lima ekor ayam dan ayam jantan peliharaannya mati pada Selasa lalu.

Sehari sebelum itu, syarikat Norfolk Southern telah membakar gerabak yang membawa bahan kimia vinyl chloride itu. 

Jabatan Sumber Asli Ohio memaklumkan bahawa tumpahan kimia akibat insiden itu setakat Rabu lalu telah membunuh kira-kira 3,500 ikan yang terdapat di sepanjang sungai sejauh kira-kira 12 kilometer (km).

"Bagi sesetengah penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian, laporan itu mencetuskan kebimbangan kepada mereka dan haiwan peliharaan mereka mungkin terdedah kepada bahan kimia," menurut laporan itu.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) memberi amaran kepada penduduk di kawasan berhampiran tentang kemungkinan bau tetapi vinyl chloride boleh mengeluarkan bau pada tahap lebih rendah daripada tahap yang dianggap berbahaya.

EPA mengklasifikasikan vinyl chloride sebagai karsinogen; pendedahan rutin boleh meningkatkan risiko kerosakan hati atau kanser hati.

Pendedahan jangka pendek pula boleh menyebabkan rasa mengantuk, loya, sakit kepala, rasa terbakar atau kebas.