- Iklan -
Luar Sana

Lebih 8,000 mangsa selamat sejak gempa bumi melanda, kata Erdogan

Negara itu menghargai segala bantuan yang dihulurkan oleh semua negara untuk misi mencari dan menyelamat bencana gempa bumi di Turkiye termasuk bantuan kemanusiaan lain.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berucap di pusat Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Ankara, 6 Februari. Gambar: Reuters
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berucap di pusat Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Ankara, 6 Februari. Gambar: Reuters

Turkiye menghargai segala bantuan yang dihulurkan oleh semua negara untuk misi mencari dan menyelamat (SAR) mahupun bantuan kemanusiaan yang lain, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Selasa.

Dalam mesej video pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, pemimpin Turkiye itu berkata pasukan penyelamat mengeluarkan lebih 8,000 orang yang masih hidup daripada serpihan runtuhan akibat gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye minggu lepas, lapor Agensi Anadolu. 

Beliau berkata lebih 81,000 orang yang cedera sudah discaj. 

"Saya sekali lagi berterima kasih kepada semua negara rakan dan sahabat yang mengumpul bantuan untuk negara kita siang dan malam, menyokong usaha mencari dan menyelamat serta tidak melupakan kami dalam doa mereka," kata Erdogan.

Beliau berkata Turkiye bukan sahaja dilanda “bencana alam paling buruk" dalam sejarah negara bahkan dalam sejarah umat manusia dan sudah pasti "persahabatan yang anda tunjukkan pada hari yang suram ini, akan senantiasa terpahat dalam ingatan kami”. 

Bencana itu sekali lagi menunjukkan peri pentingnya perpaduan antarabangsa, katanya.

Turkiye tidak putus-putus menerima mesej tanda sokongan dan ucapan takziah daripada lebih 100 negara termasuk Emiriah Arab Bersatu yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu.

"Kepentingan kedua-dua platform dua hala dan pelbagai hala lebih ketara hari ini memandangkan sistem global dibelenggu krisis," kata Erdogan yang mengulangi bahawa "dunia yang lebih adil boleh direalisasikan."

"Untuk itu, Turkiye dan negara-negara Teluk membentuk paksi utama untuk keselamatan, kestabilan, kemakmuran dan integrasi ekonomi di rantau kita. Turkiye akan terus memelihara kestabilan dan keselamatan negara itu selain turut memastikan kestabilan dan keselamatan wilayah Teluk," katanya.

Sidang kemuncak yang bertemakan "Membentuk Kerajaan Masa Depan" itu menghimpunkan pemimpin, pakar global dan pembuat keputusan dari seluruh dunia untuk berkongsi dan menyumbang kepada pembangunan peralatan, dasar dan model yang penting dalam membentuk kerajaan masa depan.

Pada 6 Februari, dua gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye.

Gegaran bermagnitud 7.7 dan 7.6 berpusat di Kahramanmaras, menjejaskan sembilan wilayah lain – Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye dan Sanliurfa.

Gegaran turut dirasai di beberapa negara lain dan menyebabkan kemusnahan meluas di utara Syria.

Menurut angka terkini, hampir 32,000 orang terbunuh di Turkiye dan 3,600 lagi di Syria.