Bekas duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Nikki Haley mengumumkan pada Selasa bahawa beliau berhasrat untuk bertanding dalam pemilihan Presiden AS yang dijadual diadakan pada 2024, lapor Xinhua.
Haley yang juga bekas gabenor Carolina Selatan menjadi anggota Republikan pertama yang secara rasmi mengumumkan akan mencabar bekas presiden Donald Trump yang juga dari parti Republikan.
"Washington telah mengecewakan kami berulang kali," kata Haley, 51, dalam video ketika mengumumkan mengenai pencalonannya itu.
Anggota Republikan yang lain termasuk bekas Naib Presiden Mike Pence dan Gabenor Florida Ron DeSantis dijangka melancarkan kempen pemilihan 2024 dalam beberapa bulan akan datang.
Presiden Joe Biden dari Demokrat turut pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding semula.