Taufan Gabrielle semakin lemah dan mula berganjak dari New Zealand pada Rabu ketika negara itu mula menilai kerosakan yang disebabkan oleh banjir besar, tanah runtuh dan angin kencang yang meragut tiga nyawa selain ribuan kehilangan tempat tinggal.
Taufan, yang tiba di New Zealand pada Ahad sebelum menyusuri pantai timur Pulau Utara, menghanyutkan ladang, jambatan dan ternakan, serta menyebabkan rumah ditenggelami air, mengakibatkan penduduk terkandas di atas bumbung.
"Kami bersyukur melalui ribut yang paling teruk tetapi kami masih belum keluar dari bahaya," kata Menteri Pengurusan Kecemasan Kieran McAnulty semasa sidang media yang disiarkan di televisyen.
"Ini adalah bencana yang besar dan akan mengambil masa beberapa minggu untuk pulih... Kita berada dalam keadaan ini untuk jangka panjang."
Penduduk di kawasan yang dilanda teruk kini diminta menjimatkan air dan makanan selepas taufan itu memaksa New Zealand pada Selasa mengisytiharkan darurat negara buat kali ketiga dalam sejarahnya.
Di pantai timur, lebih ramai orang terpaksa dipindahkan kerana air pasang menimbulkan risiko baharu kepada kediaman di kawasan pantai.
Sebahagian daripada Pulau Utara New Zealand, di mana kira-kira 75% daripada 5 juta penduduk negara itu menetap, mengalami ribut besar kedua mereka sejak beberapa minggu. Rekod hujan bulan lalu mencetuskan banjir kilat di Auckland dan empat orang kehilangan nyawa ketika itu.
Krew kecemasan pada Rabu menemui mayat dipercayai anggota bomba sukarela yang hilang sejak malam Ahad berikutan tanah runtuh di pantai berhampiran bandar terbesar di negara itu, Auckland, kata pihak berkuasa.
Dua lagi orang disahkan meninggal dunia di Hawke's Bay, sebuah wilayah di pantai timur Pulau Utara. Pihak berkuasa menganggarkan lebih 10,000 orang kehilangan tempat tinggal setakat ini.