- Iklan -
Luar Sana

Aset anak syarikat Petronas di Luxembourg dirampas semula

Aset anak syarikat Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus pertama kali dirampas pada Julai 2022, tetapi kerajaan berkata perintah itu diketepikan oleh Mahkamah Luxembourg.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo syarikat petroleum negara, Petronas di Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Logo syarikat petroleum negara, Petronas di Kuala Lumpur. Gambar: AFP

Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan terbaru terhadap dua anak syarikat milik firma petroleum negara Petronas minggu ini.

Ia berikutan tuntutan waris sah kesultanan Sulu yang menuntut pampasan AS$15 bilion (RM66 bilion) yang dimenangi mereka, demikian menurut peguam dan dokumen dilihat Reuters.

Waris terakhir Kesultanan Sulu sedang berusaha menuntut pampasan bernilai AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu, di tengah-tengah pertikaian kerajaan berhubung perjanjian tanah ketika era penjajah. 

Malaysia, yang tidak mengambil bahagian dalam timbang tara itu, kekal menganggap proses berkenaan adalah tidak sah.

Negara tersebut bagaimanapun mendapat penangguhan sementara di Perancis tetapi keputusan itu tetap boleh dikuatkuasakan di luar negara di bawah perjanjian timbang tara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Petronas berkata ia akan menentang sebarang tuntutan yang dibuat ke atas asetnya dan kerajaan berikrar untuk menggunakan semua langkah perundangan untuk menghalang asetnya, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, daripada dirampas entiti di luar negara. 

Unit Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus pertama kali dirampas pada Julai 2022, tetapi kerajaan berkata perintah itu diketepikan oleh Mahkamah Luxembourg.

Selasa lalu, Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan kedua ke atas unit dan akaun bank berkaitan, menurut dokumen mahkamah yang dikongsi oleh peguam waris, Paul Cohen. 

Cohen, dari firma undang-undang British 4-5 Gray's Inn Square, memberitahu Reuters bahawa Mahkamah Luxembourg sememangnya menarik balik perintah rampasan pertama mengenai isu kecil yang ditangani, tetapi tidak membuat penghakiman atas merit timbang tara. 

"Terdapat ketetapan teknikal yang kini ditangani dengan berkesan, dan perintah pembekuan sekali lagi dilaksanakan ke atas aset Petronas di Luxembourg," katanya menerusi e-mel. 

Mahkamah Luxembourg bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan sebarang ulasan lanjut.

Petronas dan menteri undang-undang Azalina Othman Said juga tidak mengulas mengenai perkara tersebut. 

Pertikaian itu berpunca daripada perjanjian yang ditandatangani pada 1878 antara dua penjajah Eropah dan sultan Sulu untuk wilayahnya digunakan yang kini merupakan sebahagian daripada Malaysia – perjanjian yang diiktiraf Malaysia hingga 2013 dengan membayar pajakan secara tahunan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.