Rusia mendakwa ia berjaya menembusi dua barisan pertahanan Ukraine yang berkubu di bahagian timur, dengan Kyiv menyifatkan keadaan di situ sebagai sukar manakala Barat umum lebih banyak bantuan ketenteraan termasuk peluru meriam.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata, Ukraine telah berundur dalam menghadapi serangannya di wilayah Luhansk, walaupun ia tidak memberikan butiran.
Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas kenyataan Rusia dan laporan situasi di medan perang.
"Semasa serangan... tentera Ukraine secara rawak berundur ke jarak sehingga 3 km dari barisan yang diduduki sebelum ini," kata kementerian itu melalui aplikasi Telegram.
"Malah barisan pertahanan kedua musuh yang lebih kukuh tidak mampu menahan kemaraan tentera Rusia."
Kementerian bagaimanapun tidak menyatakan di bahagian mana serangan di wilayah Luhansk itu berlaku.
Pejabat Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata tentera Kyiv telah menangkis beberapa serangan Rusia di Luhansk, menambah: "Keadaan di wilayah itu kekal sukar."
Gabenor wilayah Luhansk Serhiy Haidai berkata, Rusia menggunakan peralatan berat dan menggerakkan tentera ke Luhansk.
"Serangan datang dari arah yang berbeza," kata Haidai. "(Tetapi) mereka yang menyebarkan maklumat yang kononnya pasukan pertahanan kita telah berundur dari garis sempadan pentadbiran (Luhansk)... ini tidak sepadan dengan realiti."
Di Kyiv, pentadbiran tentera ibu negara berkata enam belon Rusia yang mungkin mengandungi peralatan peninjauan ditembak jatuh di atas bandar itu pada Rabu selepas siren serangan udara berbunyi.
"Tujuan melancarkan belon itu mungkin untuk mengesan dan meletihkan pertahanan udara kami," katanya dalam aplikasi Telegram.
Rusia tidak segera mengulas.