- Iklan -
Luar Sana

Thailand, Vietnam bakal meterai MoU tukar maklumat tangani penangkapan ikan tidak terkawal

Timbalan jurucakap kerajaan Thailand berkata Kabinet pada Selasa meluluskan MoU itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang nelayan bekerja untuk menangkap ikan di tasik Truc Bach di Hanoi pada 11 Mei, 2021. Gambar: AFP
Seorang nelayan bekerja untuk menangkap ikan di tasik Truc Bach di Hanoi pada 11 Mei, 2021. Gambar: AFP

Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand (Jabatan Perikanan) dan Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (Jabatan Perikanan) Vietnam akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menangani penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU).

Timbalan jurucakap kerajaan Thailand Ratchada Thanadirek berkata Kabinet pada Selasa meluluskan MoU itu.

“MoU itu membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman, maklumat dan langkah berkaitan penangkapan ikan IUU, terutama mengenai pencerobohan bot penangkap ikan, sijil tangkapan serta kebolehkesanan bagi menghalang produk perikanan IUU daripada memasuki rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata antara skop kerjasama itu termasuk pertukaran maklumat mengenai pemindahan dan pendaratan hidupan akuatik di pelabuhan serta kerjasama dan bertukar maklumat mengenai bot penangkap ikan haram di bawah mekanisme rantaian Asean. 

Beliau berkata MoU itu berkuat kuasa selama lima tahun.

“MoU itu akan ditandatangani pada Mesyuarat ketujuh kumpulan kerja bersama Vietnam-Thailand mengenai penangkapan ikan anti-IUU yang akan dihoskan oleh Vietnam pada Mac tahun ini,” katanya.