- Iklan -
Luar Sana

AS suara kebimbangan terhadap kanun jenayah Indonesia

Peruntukan kanun itu antara lain melarang hubungan seks luar nikah dan melarang bersekedudukan antara pasangan yang belum berkahwin.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penjual menyediakan kuih tradisional kacang soya di luar pusat membeli-belah, di Jakarta, Indonesia, 20 November, 2022. Gambar: Reuters
Seorang penjual menyediakan kuih tradisional kacang soya di luar pusat membeli-belah, di Jakarta, Indonesia, 20 November, 2022. Gambar: Reuters

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Khamis menyatakan kebimbangan Washington mengenai peruntukan tertentu dalam kanun jenayah baharu Indonesia dalam panggilan dengan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, kata Jabatan Negara AS.

Penggubal undang-undang Indonesia meluluskan kanun jenayah baharu pada Disember yang melarang hubungan seks luar nikah dan melarang bersekedudukan antara pasangan yang belum berkahwin.

Peruntukan itu termasuk langkah melarang rakyat menghina presiden dan institusi negara, selain menyebarkan pandangan yang bertentangan dengan ideologi negara.

Pengkritik berkata kanun jenayah tersebut menjejaskan kebebasan awam. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata undang-undang itu mengancam kebebasan media, privasi dan hak asasi manusia. Pegawai tempatan mempertahankan peruntukan tersebut sebagai mencerminkan identiti Indonesia.

Kanun jenayah baharu bagaimanapun dilihat tidak menjejaskan populariti Presiden Indonesia Joko Widodo, yang penarafan kelulusannya mencapai tahap tertinggi sepanjang masa dalam tinjauan pendapat dikeluarkan akhir bulan lepas.

Empat senator Demokrat AS menulis surat kepada Widodo awal bulan ini, menyatakan kebimbangan mengenai kanun jenayah itu.

"Kami menulis untuk menggesa anda mempertimbangkan semula peruntukan tersebut dan memastikan mana-mana artikel yang termasuk dalam kanun jenayah yang disemak adalah konsisten dengan kewajipan hak asasi manusia antarabangsa Indonesia dan prinsipnya sendiri," menurut surat yang ditandatangani oleh senator Edward Markey, Tammy Baldwin, Tammy Duckworth dan Cory Booker.

Dalam panggilan telefon pada Khamis, Blinken dan Retno turut membincangkan sokongan AS terhadap Indonesia sebagai pengerusi Asean, kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price dalam satu kenyataan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.