- Iklan -
Luar Sana

Biden akan dapatkan jawapan Xi tentang belon 'pengintip' China

AS tidak mahukan Perang Dingin baharu, dan tidak akan minta maaf atas insiden belon China yang ditembak itu, kata presiden AS.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden ketika bercakap tentang belon China altitud tinggi dan tiga objek lain yang baru-baru ini ditembak jatuh oleh jet pejuang AS, 17 Februari. Gambar: Reuters
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden ketika bercakap tentang belon China altitud tinggi dan tiga objek lain yang baru-baru ini ditembak jatuh oleh jet pejuang AS, 17 Februari. Gambar: Reuters

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Khamis berkata beliau akan bercakap dengan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping selepas Tentera Udara AS menembak jatuh apa yang dikatakan Washington sebagai belon pengintip China berteknologi tinggi awal bulan ini.

"Saya jangka akan bercakap dengan Presiden Xi dan... kita akan sampaikan perkara ini (belon)," kata Biden dalam ucapan awamnya sejak insiden itu pada 4 Februari.

Sambil menegaskan bahawa AS "tidak mencari Perang Dingin baharu," Biden berkata beliau "tidak akan memohon maaf atas penembakan belon itu."

"Kami akan sentiasa bertindak untuk melindungi kepentingan rakyat dan keselamatan rakyat Amerika," kata Biden.

AS berada dalam keadaan berjaga sejak belon putih besar dari China itu dikesan menjejaki beberapa tapak senjata nuklear rahsia sebelum ditembak jatuh berhampiran pantai timur.

Selepas kejadian itu, tentera AS melaraskan tetapan radar untuk mengesan objek yang lebih kecil dan segera menemui tiga lagi objek terbang yang tidak dikenali yang Biden arah tembak jatuh - satu di atas Alaska, satu lagi di Kanada dan yang ketiga di ruanb udara Tasik Huron di luar Michigan.

China berkata belon itu hanyalah kapal penyelidikan cuaca yang tersesat, tetapi pegawai AS mengatakan mereka mempunyai cukup bukti yang belon itu dihantar untuk mengintip.

Insiden itu telah mencetuskan keretakan diplomatik, dengan Setiausaha Negara Antony Blinken secara tiba-tiba membatalkan lawatan ke China. Beijing menuduh Washington bertindak keterlaluan dan mendakwa belon AS telah menceroboh masuk wilayah China, sesuatu yang dinafikan pentadbiran Biden.

Biden membuat perbezaan ketara antara belon Cina dan tiga objek yang ditembak jatuh itu.

"Kami belum tahu dengan tepat tiga objek itu," kata Biden.

Tambahnya, "ketika ini tiada apa yang menunjukkan ianya berkaitan dengan program belon pengintip China," manakala penilaian semasa perisikan AS mendakwa ianya "mungkin besar belon yang berkait dengan syarikat swasta" atau projek penyelidikan.

Bagaimanapun, "jika ada objek yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan, keselamatan rakyat Amerika, saya akan arahkannya ditembak," kata Biden.