- Iklan -
Luar Sana

Jumlah kematian gempa bumi Turkiye-Syria melepasi 41,000, PBB rayu bantuan

Sebelas hari selepas gempa itu kini menjadi salah satu daripada 10 bencana maut dalam tempoh 100 tahun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang remaja perempuan mengendong sekotak botol air minuman berdekatan masjid yang musnah teruk akibat gempa bumi dahsyat di Antakya, Turkiye, 16 Februari. Gambar: Reuters
Seorang remaja perempuan mengendong sekotak botol air minuman berdekatan masjid yang musnah teruk akibat gempa bumi dahsyat di Antakya, Turkiye, 16 Februari. Gambar: Reuters

Angka kematian akibat gempa bumi yang memusnahkan sebahagian Turkiye dan Syria melebihi 41,000 hari ini ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merayu bantuan sejumlah AS$1 bilion (RM4.42 bilion) bagi menangani krisis kemanusiaan yang semakin meningkat. 

Sebelas hari selepas gempa itu – kini menjadi salah satu daripada 10 bencana maut dalam tempoh 100 tahun – penyelamat Turkiye berjaya menarik keluar seorang gadis berusia 17 tahun dan seorang wanita berusia 20-an daripada runtuhan. 

"Mangsa berada dalam keadaan sihat. Dia membuka dan menutup matanya," kata pelombong arang batu Ali Akdogan selepas mengambil bahagian dalam misi menyelamat Aleyna Olmez di Kahramanmaras, sebuah bandar berhampiran pusat gempa. 

Tetapi harapan untuk mencari mangsa yang terselamat sebahagian besarnya semakin kabur. 

Ramai di zon terjejas berdepan detik cemas yang teruk ketika mereka cuba hidup dalam cuaca sejuk, tanpa bekalan makanan, air dan tandas – menimbulkan bencana lanjut daripada penyakit.

“Keperluan cukup besar, orang ramai menderita dan tiada masa untuk hilang,” kata setiausaha agung PBB Antonio Guterres dalam satu kenyataan, meminta dana untuk membantu mangsa. 

Beliau berkata sumbangan itu akan memberikan bantuan kemanusiaan selama tiga bulan kepada 5.2 juta orang. 

Tambahnya, wang itu akan "membolehkan organisasi bantuan meningkatkan sokongan penting dengan pantas," termasuk dalam bidang keselamatan makanan, perlindungan, pendidikan, air dan tempat tinggal. 

"Saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan dan membiayai sepenuhnya usaha kritikal ini sebagai tindak balas kepada salah satu bencana alam terbesar pada zaman kita."

Menjelang hari ketiga 'dia sudah mati' 

Pegawai dan pengamal perubatan berkata 38,044 orang meninggal dunia di Turkiye manakala 3,688 lagi di Syria akibat gempa bumi yang melanda pada 6 Februari, menjadikan jumlah korban kepada 41,732.

Gempa itu – di salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia – melanda kawasan berpenduduk ketika ramai yang nyenyak tidur di rumah yang belum dibina untuk menahan getaran yang begitu kuat.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menafikan sekeras-kerasnya mengenai tuduhan bahawa kerajaannya gagal melakukan langkah proaktif terhadap bencana alam paling dahsyat di negara itu pada zaman moden. 

Untuk setiap kisah ajaib tentang kelangsungan hidup, terdapat kisah-kisah tentang harapan yang musnah untuk menyelamatkan orang tersayang yang terkorban dalam sisa runtuhan. 

Hasan Irmak melihat mayat lima ahli keluarganya – termasuk anak perempuannya Belinda yang berusia enam tahun – meninggal dunia di bawah runtuhan rumahnya di wilayah sempadan Syria, Samandag.

"Dia masih hidup selama dua hari," kata lelaki berusia 57 tahun itu mengenai anak perempuannya. 

"Saya sempat bercakap dengannya ketika dalam runtuhan. Kemudian dia kehilangan semua tenaganya. Pada hari ketiga, dia menghembuskan nafas terakhir. Bantuan tiba pada hari keempat." 

Turkiye menggantung operasi menyelamat di beberapa wilayah, dan kerajaan di Syria yang dilanda perang melakukan perkara yang sama. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.