- Iklan -
Luar Sana

Korea Selatan, AS buat latihan nuklear untuk lawan ancaman Korea Utara

Latihan itu dijadualkan pada 22 Februari di Pentagon sebagai persediaan menghalang serangan ke atas Korea Selatan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Amerika Syarikat tergantung di satu sudut di Pentagon di Washington. Gambar: AFP
Bendera Amerika Syarikat tergantung di satu sudut di Pentagon di Washington. Gambar: AFP

Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan latihan bagi menambah baik operasi aset nuklear AS sebagai sebahagian daripada usaha untuk melawan ancaman Korea Utara, kata Kementerian Pertahanan Seoul pada Jumaat.

Korea Utara yang bersenjata nuklear melancarkan beberapa peluru berpandu tahun lepas, termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang boleh menyerang mana-mana tempat di AS, sambil meneruskan persiapan untuk ujian nuklear pertamanya sejak 2017.

Latihan itu, yang dipanggil Deterrence Strategy Committee Tabletop Exercise, dijadualkan pada 22 Februari di Pentagon dan akan melibatkan penggubal dasar pertahanan kanan dari kedua-dua negara, menurut kementerian itu.

Ia akan menjadi latihan pertama dua negara itu selepas tahun lalu mereka bersetuju untuk mengadakannya setiap tahun. Ini kerana Seoul berusaha untuk meningkatkan keyakinan terhadap pencegahan lanjutan AS - keupayaan ketenteraannya, terutamanya pasukan nuklear, untuk menghalang serangan ke atas Korea Selatan.

Delegasi Korea Selatan akan diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanan Heo Tae-keun manakala AS akan diketuai oleh Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan untuk Asia Timur Siddharth Mohandas, dan Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan Dasar Nuklear dan Senjata Pemusnah Besar-besaran Richard Johnson.

"Dengan tumpuan kepada ancaman nuklear Korea Utara, kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan mendalam mengenai pelbagai langkah bagi mengukuhkan pencegahan lanjutan AS, termasuk perkongsian maklumat dan prosedur perundingan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pada 23 Februari, para pegawai akan melawat pangkalan tentera laut Kings Bay di Georgia yang menempatkan kapal selam nuklear utama.

Kedua-dua pihak berkata mereka sedang berusaha meningkatkan perancangan dan pelaksanaan nuklear bersama serta perkongsian maklumat.

Pada Mei, tentera kedua-dua pihak akan mengadakan latihan buat kali pertama, yang akan menjadi sesuatu yang "jauh lebih konkrit dan substantif."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.