- Iklan -
Luar Sana

Lebih 43,000 maut gempa Turkiye-Syria, fokus kini kepada bantuan buat gelandangan

Gempa itu mengorbankan sekurangnya 38,044 nyawa di Turkiye, manakala pihak berkuasa Syria melaporkan 5,800 kematian.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita menolak penyorong bayi melintasi harta benda yang musnah akibat gempa bumi dahsyat di Kahramanmaras, Turkiye, 16 Februari. Gambar: Reuters
Seorang wanita menolak penyorong bayi melintasi harta benda yang musnah akibat gempa bumi dahsyat di Kahramanmaras, Turkiye, 16 Februari. Gambar: Reuters

Agensi bantuan antarabangsa meningkatkan usaha membantu berjuta-juta gelandangan, dengan ramai yang tidur di dalam khemah, masjid, sekolah atau kenderaan, selepas 11 hari gempa bumi dahsyat melanda Turkiye dan Syria meragut lebih 43,000 nyawa.

Dua mangsa bernyawa diselamatkan hidup-hidup dari runtuhan di Turkiye pada Khamis, tetapi penyelamatan seperti itu semakin jarang berlaku.

Seorang gadis berusia 17 tahun berjaya dikeluarkan daripada runtuhan blok pangsapuri yang runtuh di wilayah Kahramanmaras, tenggara Turki, lapor penyiar TRT Haber, 248 jam sejak gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda pada tengah malam 6 Februari lepas.

Kira-kira 10 jam kemudian, Neslihan Kilic berjaya diselamatkan.

"Kami telah sediakan kuburnya dan minta pekerja penyelamat berhenti menggali kerana kami bimbang mereka akan merosakkan baki mayat di bawah runtuhan. Beberapa saat kemudian, suaranya kedengaran dari bawah runtuhan bangunan," kata abang ipar Kilic kepada penyiar CNN Turk.

Suami Kilic dan dua anaknya masih hilang.

Gempa itu mengorbankan sekurang-kurangnya 38,044 orang di selatan Turkiye, kata pegawai pada Jumaat, manakala pihak berkuasa di Syria melaporkan 5,800 kematian.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis merayu lebih AS$1 bilion (kira-kira RM4.4 bilion) dana untuk operasi bantuan Turkiye, dua hari selepas melancarkan rayuan AS$400 juta untuk rakyat Syria.

Presiden Syria Bashar al-Assad pada Khamis, dalam komen pertamanya yang disiarkan di televisyen sejak gempa melanda, berkata tindak balas terhadap bencana itu memerlukan lebih banyak sumber daripada yang disediakan oleh kerajaan.

Baik Turkiye mahupun Syria tidak menyatakan berapa ramai orang yang masih hilang.

Ketua bantuan PBB Martin Griffiths, yang melawat Turkiye minggu lepas berkata, rakyat "mengalami sakit hati yang tidak terkata", menambah: "Kita perlu bersama mereka diwaktu masa susah mereka dan memastikan mereka dapat bantuan yang mereka perlukan."

Bagi keluarga yang masih menunggu saudara mara mereka diselamatkan, terdapat kemarahan terhadap apa yang mereka lihat sebagai amalan pembinaan yang korup dan pembangunan bandar yang sangat cacat yang mengakibatkan beribu-ribu rumah dan perniagaan hancur.

"Saya ada dua anak. Mereka berdua berada di bawah runtuhan ini," kata Sevil Karaabduloglu, ketika jengkaut merobohkan sisa blok rumah pangsa mewah di bandar Antakya di selatan Turki.

Kira-kira 650 orang dipercayai maut apabila Kediaman Renaissance runtuh.

"Kami sewa tempat ini sebagai tempat elit, tempat yang selamat. Macam mana saya nak tahu kontraktor bina dengan cara ini?" kata Karaabduloglu. 

"Semua orang sibuk cari untung. Mereka semua bersalah."

Kira-kira 200 km jauhnya, lebih kurang 100 orang berkumpul di tanah perkuburan kecil di bandar Pazarcik bagi mengebumikan empat keluarga - Ismail dan Selin Yavuzatmaca serta dua anak perempuan mereka - yang semuanya meninggal dunia di bangunan Renaissance.

Turkiye telah berjanji untuk menyiasat sesiapa yang disyaki bertanggungjawab ke atas keruntuhan bangunan dan telah mengarahkan penahanan lebih 100 suspek, termasuk pemaju.