- Iklan -
Luar Sana

11 maut angkara taufan New Zealand, ribuan masih hilang

Taufan Gabrielle telah menyebabkan kemusnahan dahsyat, dengan perdana menterinya menyebut sebagai bencana alam terbesar di New Zealand abad ini.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Helikopter NH90 bergerak dari Pangkalan Auckland ke Northland sebagai tindak balas kepada Taufan Gabrielle dalam gambar edaran yang dikeluarkan pada 15 Februari. Gambar: Reuters
Helikopter NH90 bergerak dari Pangkalan Auckland ke Northland sebagai tindak balas kepada Taufan Gabrielle dalam gambar edaran yang dikeluarkan pada 15 Februari. Gambar: Reuters

Jumlah maut akibat Taufan Gabrielle di New Zealand meningkat kepada 11 orang pada Ahad ketika beribu-ribu orang masih hilang seminggu selepas ribut melanda North Island di negara itu.

Taufan tersebut melanda wilayah paling utara pulau itu pada 12 Februari dan dijejaki sehingga ke pantai timur, menyebabkan kemusnahan yang meluas. Perdana Menteri Chris Hipkins menyebut taufan Gabrielle sebagai bencana alam terbesar di New Zealand abad ini.

Pada Ahad, polis berkata dua lagi maut di Hawke's Bay yang teruk dilanda taufan itu.

Lebih banyak kematian mungkin berlaku, kata Hipkins kepada pemberita, sambil berkata 3,216 orang disahkan baik, manakala polis sedang berusaha untuk memastikan status lebih 3,000 yang lain.

Kehidupan telah "diterbalikkan" oleh bencana itu dan pemulihan umpama "gunung yang curam di hadapan", katanya sambil menunjuk kepada telekomunikasi yang terganggu, kekurangan air segar dan jalan rosak yang masih menyekat akses ke beberapa kawasan.

Rantaian bekalan terganggu menyebabkan masalah mengalihkan barang, banyak tanaman telah musnah, dengan 28,000 rumah masih terputus bekalan elektrik, katanya.

"Tahap sebenar kemusnahan dan kerugian semakin nyata dari hari ke hari," kata perdana menteri.

Pasukan dari Fiji akan berlepas ke New Zealand dalam beberapa hari akan datang bagi membantu pemulihan, satu daripada 12 tawaran bantuan antarabangsa yang diterima setakat ini, kata Hipkins. Dua puluh tujuh pekerja kecemasan dari Australia sedang membantu usaha bantuan.

Usaha pemulihan diteruskan pada Ahad, dengan pasukan dari Majlis Auckland menjalankan penilaian pembinaan pantas ke atas rumah yang rosak di kawasan pantai Muriwai dan Piha, kira-kira 60km di barat bandar terbesar di negara itu, Auckland.

Pihak berkuasa kecemasan dan tentera telah menurunkan bekalan kritikal melalui helikopter kepada komuniti yang terkandas sejak taufan itu.

Polis telah menghantar 100 pegawai tambahan ke Hawke's Bay dan Tairawhiti, termasuk ke kawasan terpencil, di tengah-tengah laporan wujudnya kejadian rompakan.

"Polis sedang berusaha untuk menjaga undang-undang dan ketenteraman," kata Hipkins.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.