- Iklan -
Luar Sana

36 maut akibat banjir, tanah runtuh di Brazil

Antara yang terkorban seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun selepas bongkah batu menghempap rumahnya dan seorang lagi wanita maut akibat dihempap pokok tumbang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara menunjukkan jambatan di sempadan perbandaran Diamantina dan Olhos D’Agua di Minas Gerais, Brazil hampir ditenggelami air banjir pada 28 Januari 2020. Gambar: AFP
Pemandangan udara menunjukkan jambatan di sempadan perbandaran Diamantina dan Olhos D’Agua di Minas Gerais, Brazil hampir ditenggelami air banjir pada 28 Januari 2020. Gambar: AFP

Sekurang-kurangnya 36 orang maut akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di Sao Paulo, Brazil, lapor Xinhua dan Reuters memetik kenyataan kerajaan negeri.

Antara yang terkorban seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun selepas bongkah batu menghempap rumahnya dan seorang lagi wanita maut akibat dihempap pokok tumbang.

Susulan itu, sambutan karnival yang dijadualkan diadakan di beberapa bandar di Sao Paulo ditangguhkan.

"Pihak kami terpaksa meminta bantuan Angkatan Tentera untuk membantu usaha menyelamat," kata Gabenor Sao Paulo Tarcisio de Freitas yang melawat zon bencana.

Bencana ribut turut menjejaskan bandar Sao Sebastiao, Ubatuba, Bertioga, Guaruja, Ilhabela dan Santos.

Kerajaan tempatan mengisytiharkan Sao Sebastiao sebagai kawasan bencana berikutan tanah runtuh dan jalan raya terhalang yang menyebabkan penyelamat sukar untuk sampai ke kawasan terjejas.

"Banyak kejadian tanah runtuh berlaku, rumah hanyut dan ramai mangsa terperangkap di bawah runtuhan. Keadaan huru-hara kerana penyelamat tidak dapat untuk akses ke lokasi terjejas," kata Datuk Bandar Sao Sebastiao Felipe Augusto. 

Kerajaan persekutuan menghantar pasukan penyelamat dari agensi pertahanan awam negara dan Menteri Integrasi dan Pembangunan Wilayah Waldez Goes dijangka melawat kawasan itu pada Isnin, menurut satu kenyataan rasmi.

Goes berkata Kementerian Pertahanan akan turut membantu dalam operasi menyelamat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.