- Iklan -
Luar Sana

Rusia dakwa hampir 700 pegawai Ukraine dengan jenayah perang, menurut laporan

Ia termasuk 118 orang daripada kalangan komander dan kepimpinan Angkatan Tentera dan Kementerian Pertahanan Ukraine, menurut Jawatankuasa Penyiasatan Rusia.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Penyiasat tentera Rusia meneliti tempat kejadian selepas sebuah kedai rosak teruk akibat terkena tembakan dalam konflik Rusia-Ukraine di Donetsk, Ukraine yang dikuasai Rusia, 19 Februari. Gambar: Reuters
Penyiasat tentera Rusia meneliti tempat kejadian selepas sebuah kedai rosak teruk akibat terkena tembakan dalam konflik Rusia-Ukraine di Donetsk, Ukraine yang dikuasai Rusia, 19 Februari. Gambar: Reuters

Rusia mendakwa 680 pegawai Ukraine, termasuk 118 anggota tentera dan kementerian pertahanan berhubung pelanggaran undang-undang berkaitan pengendalian perang, termasuk penggunaan senjata terhadap orang awam, lapor agensi berita TASS pada Isnin.

Menurut laporan yang memetik ketua penyiasat awam Rusia itu, semua pegawai Ukraine itu didakwa dengan "penggunaan cara dan kaedah peperangan yang dilarang", merujuk kepada Artikel 356 kanun jenayah Rusia.

"Pada masa ini, prosedur pendakwaan dijalankan terhadap 680 orang," kata ketua Jawatankuasa Penyiasatan Rusia, Alexander Bastrykin kepada TASS.

"Antara defendannya ialah 118 orang daripada kalangan komander dan kepimpinan Angkatan Tentera Ukraine dan Kementerian Pertahanan Ukraine."

Bastrykin, yang melaporkan terus kepada Presiden Vladimir Putin, berkata tuduhan itu termasuk penggunaan senjata terhadap penduduk awam. Tambahnya 138 daripada mereka telah didakwa tanpa kehadiran.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan jawatankuasa itu manakala pihak berkuasa Ukraine belum memberikan sebarang komen.

Menurut Pejabat Pendakwa Ukraine, pihak berkuasa Ukraine telah mendaftarkan lebih 70,000 jenayah perang Rusia sejak permulaan konflik. Ukraine juga telah mendedahkan beberapa kes jenayah terhadap anggota tentera Rusia, termasuk terhadap ketua tentera upahan Wagner.

Ukraine dan Rusia telah menafikan tuduhan mereka menyasarkan orang awam sejak hampir setahun pencerobohan Rusia ke atas jirannya, yang telah mengorbankan ribuan nyawa, jutaan orang kehilangan tempat tinggal, selain meratakan bandar-bandar.

Minggu lepas, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata ia secara rasmi membuat kesimpulan bahawa Rusia melakukan "jenayah terhadap kemanusiaan" di Ukraine, satu tuduhan yang dinafikan Rusia.