- Iklan -
Luar Sana

Taliban rancang ubah bekas pangkalan tentera asing kepada zon ekonomi khas

Ekonomi Afghanistan bergelut dan agensi bantuan memberi amaran tentang krisis kemanusiaan yang teruk sejak Taliban mengambil alih pada 2021.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa ahli Taliban duduk di luar bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat bagi menyambut ulangtahun pertama pengusiran tentera AS dari Afganistan di Bagram, 31 Ogos 2022. Gambar: AFP
Beberapa ahli Taliban duduk di luar bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat bagi menyambut ulangtahun pertama pengusiran tentera AS dari Afganistan di Bagram, 31 Ogos 2022. Gambar: AFP

Pemerintah Taliban akan meneruskan rancangan untuk menjadikan bekas pangkalan tentera asing sebagai zon ekonomi khas untuk perniagaan, kata pemangku timbalan perdana menteri bagi hal ehwal ekonomi dalam satu kenyataan semalam. 

Pemangku menteri perdagangan memberitahu Reuters pada Disember bahawa kementeriannya sedang merangka rancangan terhadap bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat dan akan menyerahkannya kepada kedua-dua jawatankuasa ekonomi yang diketuai oleh pemangku timbalan perdana menteri Mullah Abdul Ghani Baradar serta kepada kabinet untuk kelulusan. 

"Berikutan perbincangan menyeluruh, diputuskan bahawa Kementerian Perindustrian dan Perdagangan perlu mengambil alih secara berperingkat pangkalan tentera asing yang terbiar dengan matlamat untuk menukarnya menjadi zon ekonomi khas," kata Mullah Baradar dalam kenyataan itu. 

Beliau menambah pelan perintis akan mula menukar pangkalan tentera di ibu kota Kabul dan di wilayah utara Balkh. 

Ekonomi Afghanistan bergelut dan agensi bantuan memberi amaran tentang krisis kemanusiaan yang teruk sejak Taliban mengambil alih pada 2021 apabila tentera asing berundur selepas 20 tahun berperang.

Pengambilalihan itu mencetuskan pemotongan pembiayaan pembangunan, pembekuan aset bank pusat yang dipegang asing dan sekatan yang dikuatkuasakan ke atas sektor perbankan. 

Keputusan pemerintah Taliban untuk menghalang kebanyakan pekerja NGO wanita bekerja tahun lalu mendorong banyak agensi bantuan menangguhkan sebahagian operasi manakala berjuta-juta orang masih bergantung kepada bantuan kemanusiaan. 

Menurut Taliban, mereka memberi tumpuan untuk meningkatkan sara diri ekonomi melalui perdagangan dan pelaburan. 

Beberapa pelabur asing menyatakan kebimbangan terhadap siri serangan, termasuk di sebuah hotel yang popular dengan ahli perniagaan China, yang didakwa oleh Negara Islam. 

Bagaimanapun, Bank Dunia juga menyatakan bahawa eksport meningkat dan pemerintah Taliban berjaya mengekalkan pendapatan lebih stabil pada 2022.