- Iklan -
Luar Sana

Filipina, AS bincang kerjasama kawal pantai di Laut China Selatan

Manila tingkatkan retorik terhadap "aktiviti agresif" Beijing di Laut China Selatan, yang turut menjadi tumpuan ketegangan antara China dan AS.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar edaran pada 6 Februari, dan dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Filipina pada 13 Februari menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China memancarkan "laser gred tentera' ke arah kapal Pengawal Pantai Filipina hampir 20 km dari Second Thomas Shoal, di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang dipertikaikan. Gambar: AFP
Gambar edaran pada 6 Februari, dan dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Filipina pada 13 Februari menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China memancarkan "laser gred tentera' ke arah kapal Pengawal Pantai Filipina hampir 20 km dari Second Thomas Shoal, di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang dipertikaikan. Gambar: AFP

Filipina dan Amerika Syarikat (AS) sedang berbincang untuk menjalankan rondaan pengawal pantai bersama, termasuk di Laut China Selatan, kata seorang pegawai Manila pada Isnin.

Dengan tuntutan kedaulatan yang bertindih di laluan air strategik, Filipina meningkatkan retorik terhadap apa yang disifatkannya sebagai "aktiviti agresif" China di Laut China Selatan, yang turut menjadi tumpuan ketegangan antara China dan AS berhubung operasi tentera laut.

Jay Tarriela, jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG) mengenai isu Laut China Selatan, memberitahu CNN Filipina bahawa perbincangan dengan AS telah melangkaui peringkat awal dan kemungkinan untuk melakukan rondaan bersama adalah tinggi.

Tarriela tidak memberikan butiran mengenai skala atau waktu rondaan yang dicadangkan, yang dibuat setelah Pentagon pada bulan ini berkata AS dan Filipina sudah "bersetuju untuk memulakan semula rondaan maritim bersama di Laut China Selatan".

“Sudah ada jalan jelas memandangkan Jabatan Pertahanan AS juga menyokong rondaan bersama antara tentera laut Filipina dan tentera laut AS, jadi ada kepastian untuk rondaan bersama ini berlaku antara pengawal pantai kedua-dua negara," kata Tarriela.

“Terdapat juga kemungkinan ia akan dilaksanakan di Laut China Selatan bagi menyokong kebebasan pelayaran kerajaan AS,” katanya.

Bekas naib komander Tentera Laut Filipina Rommel Jude Ong memberitahu Reuters pada Isnin, idea penempatan pengawal pantai di Laut China Selatan dan bukannya tentera laut akan "mengurangkan sebarang kesilapan perhitungan dan menghalang China daripada mencari alasan untuk meningkatkan ketegangan." 

Awal bulan ini, PCG mendakwa pengawal pantai China menyasarkan "laser gred tentera" terhadap kapalnya yang menyokong misi bekalan semula untuk tentera, membutakan mata anak kapalnya buat sementara waktu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dari negara lain termasuk Jepun, Australia dan AS.

China menafikan dakwaan PCG, yang dikatakan tidak mencerminkan kebenaran.

Kedutaan China di Manila tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas mengenai rondaan bersama itu.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr minggu lalu memanggil duta China untuk menyampaikan kebimbangannya terhadap kekerapan dan intensiti tindakan China di Laut China Selatan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.