- Iklan -
Luar Sana

Pertuduhan bunuh petugas set pada 2021 ke atas Baldwin dikurangkan

Dengan keputusan itu pelakon veteran Hollywood dan penyedia senjata api dan peluru untuk set filem itu terlepas daripada hukuman penjara lima tahun, menurut laporan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pelakon Hollywood Alec Baldwin. Gambar: Reuters
Pelakon Hollywood Alec Baldwin. Gambar: Reuters

Pendakwa raya telah mengurangkan pertuduhan terhadap pelakon dan penerbit Amerika Alec Baldwin berkaitan kematian seorang petugas set filem "Rust” pada 2021, lapor Xinhua, memetik The Hollywood Reporter, pada Isnin.

Dengan keputusan itu, pelakon veteran Hollywood berusia 64 tahun itu dan penyedia senjata api dan peluru di set filem itu pada hari berkenaan, Hannah Gutierrez-Reed, terlepas daripada hukuman penjara lima tahun, menurut laporan itu.

Pada 21 Oktober 2021, Baldwin melepaskan tembakan daripada pistol prop pada set filem di New Mexico, Santa Fe County, Amerika Syarikat, membunuh ahli sinematograf filem itu, Halyna Hutchins, 42, dan mencederakan pengarah Joel Souza.

Pada 31 Jan lepas, Peguam Daerah Kehakiman Pertama New Mexico Mary Carmack-Altwies secara rasmi memfailkan pertuduhan membunuh tanpa niat terhadap Baldwin dan Gutierrez-Reed.

Pada Jumaat, pendakwa raya menarik balik pertuduhan kedua iaitu pengubahsuaian senjata api Peguam Baldwin dan Gutirerrez-Reed dalam hujah yang difailkan pada awal bulan ini berkata pertuduhan itu yang berasaskan undang-undang baharu New Mexico tidak boleh digunakan kerana ia diluluskan selepas kematian Hutchins, lapor The Hollywood Reporter.

Baldwin dan Gutierrez-Reed masih menghadapi pertuduhan membunuh tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 18 bulan, tambah laporan itu.

"Bagi mengelak gangguan litigasi oleh Baldwin dan peguamnya, Peguam Daerah dan pendakwa raya khas telah menarik balik pertuduhan pengubahsuaian senjata api kepada tuduhan pembunuhan tanpa niat terhadap kematian Halyna Hutchins di set filem Rust," menurut kenyataan jurucakap bagi Peguam Daerah Kehakiman Pertama New Mexico, Heather Brewer.

"Keutamaan pihak pendakwaan ialah mendapatkan keadilan," kata Brewer.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.