Singapura mengutuk sekeras-kerasnya ujian peluru berpandu balistik Korea Utara baru-baru ini termasuk ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pada Sabtu lepas, menurut Kementerian Luar (MFA) hari ini.
“Seperti ujian peluru berpandu sebelum ini, ini merupakan provokasi berbahaya yang akan memburukkan lagi ketegangan di Semenanjung Korea serta menjejaskan kestabilan di rantau ini. Ia juga merupakan pelanggaran terhadap Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” menurut MFA dalam satu kenyataan.
Singapura mengulangi gesaan sebelum ini supaya Korea Utara menghentikan serta-merta semua provokasi dan mematuhi obligasi dan komitmen antarabangsanya
Korea Utara dilaporkan menguji ICBM Hwasong-15 pada Sabtu dengan pelancarannya dilakukan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang.
Menurut laporan peluru berpandu Hwasong-15 mampu mencapai ketinggian maksimum 5,768 kilometer (3,584 batu), meliputi jarak 989 kilometer.