- Iklan -
Luar Sana

Kerja 4 hari seminggu lebih produktif, menurut kajian UK

Peningkatan ketara kesihatan fizikal dan mental dikesan, dengan hasil syarikat meningkat 1.4% secara purata dalam kajian enam bulan melibatkan 60 syarikat dengan hampir 3,000 pekerja terlibat itu.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berjalan di atas Jambatan Westminster semasa hujan lebat di London, Britain, 6 November. Gambar: Reuters
Orang ramai berjalan di atas Jambatan Westminster semasa hujan lebat di London, Britain, 6 November. Gambar: Reuters

Bekerja empat hari dalam seminggu lebih produktif bagi kebanyakan pekerja dan syarikat berbanding lima hari, menurut salah satu kajian terbesar dijalankan di United Kingdom (UK) pada Selasa.

Lebih 60 firma di Britain mengambil bahagian dalam eksperimen selama enam bulan itu yang melibatkan hampir 3,000 pekerja cuma bekerja kurang sehari sambil mengekalkan gaji yang sama.

Dijalankan antara Jun dan Disember lalu, ia dianjurkan oleh kumpulan 4 Day Week Global bersama badan pemikir Autonomiy, Universiti Cambridge dan Kolej Boston di Amerika Syarikat (AS).

Ia digambarkan sebagai kajian terbesar di dunia mengenai tempoh kerja empat hari dalam seminggu.

Kajian itu mendapati lebih sembilan daripada sepuluh firma akan meneruskan minggu bekerja yang dipendekkan atau merancang untuk berbuat demikian, kata penganjur dalam satu kenyataan.

Hanya 4% tidak akan melaksanakannya.

"Hasil sebahagian besarnya stabil di seluruh tempat kerja dengan saiz yang berbeza-beza, menunjukkan ini adalah inovasi yang berfungsi untuk pelbagai jenis organisasi," kata ketua penyelidik dan profesor Kolej Boston, Juliet Schor.

Produktiviti tidak terkesan, dengan hasil syarikat meningkat 1.4% secara purata sepanjang percubaan.

Pendapatan syarikat melonjak 35% secara purata, jika dibandingkan dengan tempoh yang sama dari tahun-tahun sebelumnya.

Kajian itu juga mendapati pengambilan pekerja meningkat dan ketidakhadiran menurun, manakala bilangan kakitangan yang berhenti kerja menurun secara mendadak semasa kajian.

Di samping itu, penyelidik membuat kesimpulan bahawa keseluruhan kesihatan dan kesejahteraan pekerja telah bertambah baik.

Peningkatan "ketara" diperhatikan dalam kesihatan fizikal dan mental, masa yang dihabiskan untuk bersenam, dan keseluruhan kehidupan dan kepuasan kerja.

Kadar tekanan dan keletihan semuanya menurun, manakala masalah tidur berkurangan, menurut kenyataan itu.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.