- Iklan -
Luar Sana

Rusia putar belit kebenaran tentang bencana MH17, kata pengarah dokumentari

Dokumentari 'Iron Butterflies' oleh pengarah Ukraine antara lain mendedahkan pembaca berita TV Rusia mencadangkan pesawat malang itu dilanggar makhluk asing.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar diambil pada 26 Mei 2021, menunjukkan serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dibina semula di Pangkalan Udara Gilze-Rijen, di selatan Belanda. Gambar: AFP
Gambar diambil pada 26 Mei 2021, menunjukkan serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dibina semula di Pangkalan Udara Gilze-Rijen, di selatan Belanda. Gambar: AFP

Mengetepikan bukti-bukti bahawa peluru berpandu Rusia menjatuhkan pesawat Malaysian Airlines MH17, pembaca berita TV milik Rusia dilihat menyuarakan teori alternatif dalam dokumentari baharu yang mana seorang mendakwa jet pejuang Ukraine menembak jatuh pesawat itu manakala seorang lagi mencadangkan pesawat itu dilanggar oleh makhluk asing.

Dokumentari "Iron Butterflies" oleh pengarah Ukraine, Roman Liubyi,  menunjukkan bagaimana penyiasatan rentas sempadan membuat kesimpulan pada 2016 bahawa pesawat itu dijatuhkan dengan peluru berpandu darat ke udara BUK Rusia di timur Ukraine yang dikawal pemisah - dan bagaimana Rusia bertindak balas terhadap penemuan itu.

"Ini adalah contoh sempurna bagaimana kebenaran boleh dimanipulasi, bagaimana ia boleh ditutup dari pandangan," kata Liubyi kepada Reuters mengenai bagaimana Rusia menggambarkan kejadian itu, di mana 298 terbunuh. 

"Skala manipulasi tidak dapat dibayangkan."

Awal bulan ini, pendakwa raya antarabangsa berkata mereka telah menemukan "petunjuk kukuh" Presiden Rusia Vladimir Putin telah meluluskan penggunaan sistem peluru berpandunya di Ukraine yang menembak jatuh pesawat itu tetapi tidak ada bukti yang mencukupi untuk disabitkan dengan jenayah.

Dua bekas ejen perisikan Rusia dan seorang pemisah Ukraine telah disabitkan dengan tuduhan membunuh oleh mahkamah Belanda pada November kerana membantu mengatur sistem peluru berpandu Rusia itu. Siasatan jenayah itu diketuai oleh Belanda, dengan penyertaan dari Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine.

Kremlin berulang kali menafikan sebarang penglibatan Rusia.

Filem itu, yang ditayangkan di Festival Filem Sundance bulan lalu, dibuka di Festival Filem Berlin pada Selasa.

Liubyi berkata Barat terlambat untuk menghukum Rusia, sekali gus membuatkan Putin lebih berani, yang kemudiannya menyerang Ukraine pada Februari 2022.

"Jika dunia bertindak balas terhadap MH17 dan berhenti berdagang dengan Rusia, ia akan menghantar mesej yang jelas," kata Liubyi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.