- Iklan -
Luar Sana

Singapura tahan remaja terpengaruh propaganda pengganas di bawah ISA

Remaja 15 tahun itu juga dikatakan merancang untuk melakukan serangan di republik itu selain berniat menubuhkan khalifah Islam dengan cara keganasan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera kumpulan militan Daesh. Gambar: AFP
Bendera kumpulan militan Daesh. Gambar: AFP

Seorang rakyat Singapura berusia 15 tahun yang meradikalkan dirinya sendiri menerima Perintah Tahanan (OD) dan setakat ini menjadi individu paling muda yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkaitan dengan aktiviti keganasan di sini.

Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) republik itu, remaja lelaki ialah pelajar Menengah Tiga ketika ditahan di bawah ISA pada November 2022 dan telah menerima OD pada Disember 2022.

“Siasatan mendapati dia terpengaruh dengan propaganda pengganas dalam talian dan menyokong Al Qaeda (AQ) dan Daesh,” menurut kenyataan jabatan itu dikeluarkan di laman sesawang Kementerian Dalam Negeri pada Selasa.

Dia juga merancang untuk melakukan serangan di Singapura dan menyimpan hasrat untuk menubuhkan khalifah Islam dengan cara keganasan.

"Dia individu paling muda setakat ini yang ditahan di bawah ISA untuk aktiviti berkaitan keganasan," menurut jabatan itu.

Remaja itu akan menjalani kaunseling agama intensif dengan dua kaunselor agama dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Sebelum ini, seorang lelaki juga rakyat Singapura berusia 16 tahun yang ditahan di bawah ISA pada Disember 2020.

Dia terpengaruh dengan ideologi pelampau dan merancang untuk melakukan serangan menggunakan pisau terhadap umat Islam di dua masjid di Singapura. 

Pelajar Menengah Empat itu menerima Perintah Sekatan (RO) di bawah ISA pada Januari 2023.

Menurut ISD, siasatan mendapati bahawa pemuda itu telah meradikalkan diri sendiri oleh propaganda Daesh dalam talian dan mempercayai penggunaan keganasan bersenjata untuk menubuhkan sebuah khalifah Islam.

Dia menyertai platform permainan dalam talian Roblox, permainan maya yang meniru zon konflik Daesh, seperti di Syria dan bandar Marawi di selatan Filipina.

Kedua-dua remaja itu adalah kenalan dalam talian warga Singapura berusia 18 tahun yang ditahan di bawah ISA pada Disember 2022.

Sejak 2015, ISD telah menangani 11 kes melibatkan golongan muda Singapura berusia 20 tahun ke bawah dengan kesemuanya meradikalkan diri mereka menerusi dalam talian.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.