- Iklan -
Luar Sana

Tentera Israel bunuh 11 rakyat Palestin, lebih 100 cedera di Tebing Barat, kata pakar perubatan

Sejak Januari seramai 62 rakyat Palestin terkorban akibat serangan tentera rejim, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Tentera Israel berjaga di penempatan Gush Etzion, di Tebing Barat yang diduduki Israel, 2 Februari. Gambar: Reuters
Tentera Israel berjaga di penempatan Gush Etzion, di Tebing Barat yang diduduki Israel, 2 Februari. Gambar: Reuters

Tentera rejim Israel membunuh 11 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya empat lelaki bersenjata dan empat orang awam, selain mencederakan lebih 100 yang lain semasa serbuan di Tebing Barat pada Rabu, kata saksi, pegawai perubatan dan kumpulan bersenjata.

Tentera Israel mengesahkan operasinya di Nablus, berkata ia bertindak membalas serangan ketika cuba menahan individu yang disyaki merancang serangan lain. Tiada korban di sebelah pihak rejim, menurut kenyataan tentera.

Kumpulan bersenjata Palestin, Jihad Islam, berkata dua komandernya di Nablus telah dikepung dalam sebuah rumah yang mencetuskan pertempuran. Letupan kedengaran dan pemuda tempatan membaling batu ke aras pengangkut tentera berperisai.

Sumber Palestin berkata, dua komander Jihad Islam itu terbunuh bersama seorang lagi lelaki bersenjata. Kematian juga melibatkan empat orang awam, antaranya seorang lelaki berusia 72 tahun dan seorang budak lelaki berusia 14 tahun. 

Kementerian Kesihatan Palestin berkata seorang lelaki berusia 66 tahun maut di hospital selepas terhidu asap gas semasa serbuan pada Rabu itu. Pegawai perubatan berkata lebih 100 rakyat Palestin cedera.

Nablus dan Jenin menjadi tumpuan serbuan yang telah diperhebatkan oleh rejim Israel sejak tahun lalu.

Seramai 62 rakyat Palestin, termasuk lelaki bersenjata dan orang awam, terbunuh pada 2023, kata Kementerian Kesihatan Palestin. Sepuluh warga Israel dan seorang pelancong Ukraine maut dalam serangan Palestin dalam tempoh yang sama, menurut kementerian luar Israel.

“Kami mengutuk serbuan di Nablus dan kami seru agar serangan berterusan itu dihentikan,” kata Nabil Abu Rudeineh, jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Hamas, satu lagi kumpulan Palestin yang kadangkala berperang bersama Jihad Islam, berkata terdapat empat lelaki bersenjata terbunuh, seorang daripadanya anggota Hamas, membayangkan kemungkinan tindakan balas dari Semenanjung Gaza, wilayah yang dikuasainya.

"Penentang di Gaza sedang memantau jenayah yang semakin meningkat yang dilakukan oleh musuh terhadap rakyat kita di Tebing Barat yang diduduki," kata Abu Ubaida, jurucakap sayap bersenjata Hamas, di Telegram.

Rundingan kenegaraan Palestin yang ditaja Amerika Syarikat telah terhenti hampir sedekad.