- Iklan -
Luar Sana

Biden calonkan bekas CEO Mastercard terajui Bank Dunia

Bank Dunia sedang mencari calon presiden, dalam proses yang ditetapkan berjalan sehingga 29 Mac.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas CEO Mastercard Ajay Banga dicalonkan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk jawatan presiden Bank Dunia, 24 Februari. Gambar: Reuters
Bekas CEO Mastercard Ajay Banga dicalonkan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk jawatan presiden Bank Dunia, 24 Februari. Gambar: Reuters

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Khamis mengumumkan pencalonan bekas ketua eksekutif Mastercard Ajay Banga sebagai calon presiden Bank Dunia, selepas ketua pemberi pinjaman pembangunan itu mengumumkan rancangan untuk berundur awal.

Bank Dunia baru sahaja memulakan pencarian calon dalam proses yang ditetapkan berjalan sehingga 29 Mac, dengan bank itu berkata bahawa pencabar wanita sangat digalakkan.

Presiden untuk bank yang berpangkalan di Washington itu lazimnya adalah rakyat AS, manakala ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kebiasaannya adalah orang Eropah.

Banga, yang berbangsa India-Amerika, sebelum ini memegang jawatan ketua eksekutif di Mastercard, selain pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah Palang Merah Amerika, Kraft Foods dan Dow Inc. Beliau kini adalah naib pengerusi di firma ekuiti swasta General Atlantic.

Beliau yang berusia 63 tahun itu dilahirkan dan dibesarkan di India, kerap mengembara semasa kecil kerana kerjaya tentera bapanya, dan memulakan kerjayanya di sana sebelum berhijrah ke AS.

Banga mempunyai "pengalaman kritikal menggerakkan sumber awam-swasta bagi menangani cabaran paling mendesak pada zaman ini, termasuk perubahan iklim," kata Biden dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, presiden Bank Dunia ketika ini David Malpass berkata beliau akan berundur setahun lebih awal, menamatkan tempoh perkhidmatan yang telah diselubungi persoalan mengenai pendirian iklimnya.

Malpass dilantik ke jawatan itu pada 2019 semasa Donald Trump menjadi presiden, dan pada asalnya akan menamatkan penggalnya pada 2024.

Pencalonan Banga dibuat di tengah-tengah desakan kepada pemberi pinjaman pembangunan untuk merombak dan menangani masalah global dengan lebih berkesan seperti isu alam sekitar.

Mana-mana daripada 189 ahli bank boleh meletakkan calon, walaupun pada 2019, Malpass adalah satu-satunya penama yang mengambil alih teraju institusi itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.