- Iklan -
Luar Sana

Kemboja lapor kematian kanak-kanak 11 tahun akibat selesema burung

Ia adalah jangkitan H1N1 pertama yang dikenal pasti terhadap manusia di negara Asia Tenggara itu sejak 2014.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang dikeluarkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit Kemboja (CDCD) pada 23 Februari menunjukkan pakar CDCD mendidik penduduk kampung tentang ancaman virus H5N1, di wilayah Prey Veng. Gambar: AFP
Gambar yang dikeluarkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit Kemboja (CDCD) pada 23 Februari menunjukkan pakar CDCD mendidik penduduk kampung tentang ancaman virus H5N1, di wilayah Prey Veng. Gambar: AFP

Kemboja melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dari wilayah timur Phnom Penh meninggal dunia selepas dijangkiti virus H5N1, yang biasanya dikenali sebagai selesema burung. 

Ia adalah jangkitan H1N1 pertama yang dikenal pasti terhadap manusia di negara Asia Tenggara itu sejak 2014, kata Menteri Kesihatan Mam Bunheng dalam satu kenyataan semalam. 

Kanak-kanak dari wilayah Prey Veng itu disahkan menghidap selesema burung selepas berasa tidak sihat akibat demam panas dan batuk pada 16 Februari, menurut kenyataan itu. 

Apabila keadaannya semakin teruk, dia dipindahkan ke Hospital Kanak-Kanak Kebangsaan di Phnom Penh untuk rawatan, tetapi meninggal dunia pada Rabu, kata kementerian kesihatan. 

Sejak awal tahun lalu, selesema burung memusnahkan ladang di seluruh dunia, menyebabkan kematian lebih 200 juta burung kerana penyakit itu atau pemusnahan besar-besaran, lapor Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia kepada Reuters baru-baru ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) awal bulan ini mencatatkan penularan influenza H5N1 terhadap mamalia, tetapi berkata risiko kepada manusia kekal rendah. 

H5N1 merebak di kalangan unggas dan burung liar selama 25 tahun, kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat, tetapi laporan baru-baru ini mengenai jangkitan pada cerpelai, memerang dan anjing laut "perlu dipantau dengan teliti". 

Pihak berkuasa kesihatan Kemboja menggesa orang ramai supaya tidak mengendalikan haiwan dan burung yang mati atau sakit, dan menghubungi segera jika ada yang mengesyaki mereka dijangkiti penyakit itu.