Polis Hong Kong pada Ahad berkata pihak berkuasa mendakwa tiga orang berhubung pembunuhan model Abby Choi, 28, yang kakinya ditemui dalam peti sejuk di sebuah rumah di pinggir bandar.
Polis sedang mencari bahagian lain mayat Choi, selepas penemuan pada Jumaat itu. Mereka turut menemui alat penghiris daging dan gergaji elektrik di tempat kejadian di daerah luar bandar Tai Po, menurut satu kenyataan polis.
Memetik sumber polis, media tempatan, termasuk penyiar TVB dan South China Morning Post melaporkan pada petang Ahad bahawa kepala Choi ditemui dalam periuk sup di sebuah rumah kampung tempat beliau dijumpai.
Polis tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
Pembunuhan ngeri pempengaruh tempatan itu, yang baru-baru ini muncul di muka depan majalah fesyen digital L'Officiel Monaco, menarik perhatian dunia.
Kenyataan polis mengatakan bahawa empat orang sudah ditangkap dan tiga didakwa dalam kes itu, tetapi tidak mendedahkan nama. Mereka yang didakwa akan di bawa ke mahkamah pada Isnin.
Penyiar tempatan TVB berkata bekas suami Choi, Alex Kwong sudah ditangkap pada Sabtu tetapi masih belum didakwa, manakala bekas bapa mertuanya dan abangnya didakwa atas tuduhan membunuh. Bekas ibu mertua Choi turut ditahan dan didakwa kerana menghalang kes itu, katanya, memetik polis.
Reuters belum dapat menentukan sama ada mereka yang berada dalam tahanan mempunyai peguam.
Choi hilang pada Selasa dan kali terakhir dilihat di daerah Tai Po, tempat beliau ditemui, kata polis.