- Iklan -
Luar Sana

AS, Thailand mulakan latihan tentera pada skala penuh

Latihan diberi nama "Cobra Gold" itu antara lain bertujuan meningkatkan kestabilan serantau dan menangani ancaman dalam semua domain termasuk darat, laut, udara, siber dan angkasa.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Barisan tentera menghadiri majlis perasmian Cobra Gold, latihan ketenteraan pelbagai hala tahunan terbesar di Asia, di Lapangan Terbang Antarabangsa U-Tapao, wilayah Rayong, Thailand, 27 Februari. Gambar: Reuters
Barisan tentera menghadiri majlis perasmian Cobra Gold, latihan ketenteraan pelbagai hala tahunan terbesar di Asia, di Lapangan Terbang Antarabangsa U-Tapao, wilayah Rayong, Thailand, 27 Februari. Gambar: Reuters

Amerika Syarikat (AS) dan Thailand pada Selasa memulakan latihan "Cobra Gold" berskala penuh bagi meningkatkan kesalingoperasian ketenteraan di rantau ini.

Dianjurkan bersama oleh Angkatan Tentera Diraja Thailand (RTARF) dan Komando Indo-Pasifik Amerika Syarikat (USINDOPACOM), penganjuran kali ke-42 membabitkan 7,394 anggota dari 30 negara.

Latihan ketenteraan itu diadakan di Rayong, Sa Kaeo, Chantaburi dan Lopburi antara 27 Februari hingga 10 Mac.

Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Chalermphon Srisawasdi dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Thailand Robert F. Godec mempengerusikan majlis perasmian ‘Cobra Gold 2023’ di Pangkalan Udara Tentera Laut Diraja Thailand, Armada Udara Diraja Thai di Rayong pada Selasa.

Komander Indo-Pasifik Amerika Syarikat, Laksamana John Aquilino berkata latihan ketenteraan Cobra Gold akan mengukuhkan keupayaan merancang, menjalankan operasi gabungan dan operasi pengaman di semua domain.

“Melalui Cobra Gold, kami menunjukkan keazaman untuk bertindak balas bersama-sama bagi memelihara Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka supaya semua negara dapat mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran,” katanya pada majlis perasmian hari ini.

Sementara itu, Chalermpol berkata Cobra Gold adalah simbol kesinambungan dan pembangunan kerjasama ketenteraan.

“Latihan terbuka dan telus serta pemupukan perhubungan dalam kalangan semua peserta menjadikan latihan ini unik dan cemerlang.

“Skop operasi ketenteraan ini meningkatkan kestabilan serantau dan menangani ancaman dalam semua domain termasuk darat, laut, udara, siber dan angkasa.

“Operasi pengaman, keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana turut disertakan. Semua ini akan membantu kami mengekalkan keselamatan serantau dan bersedia memberikan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Dalam edisi Cobra Gold kali ini, latihan teras termasuk Command Post Exercise (CPX) merupakan latihan kekuatan menyeluruh untuk mengendalikan semua operasi domain – darat, laut, udara, siber dan angkasa, latihan kemanusiaan dan bantuan bencana serta latihan lapangan.

Tahun ini, latihan angkasa lepas dimasukkan dalam latihan perancangan kakitangan operasi gabungan buat kali pertama.

Terdapat tujuh negara yang mengambil bahagian sepenuhnya iaitu Thailand, Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Indonesia, Korea Selatan dan Malaysia.

Ia adalah kali keenam Malaysia menyertai Cobra Gold dan seramai 43 anggota tentera menyertai latihan tahunan itu.

Sementara itu, China, India, dan Australia menyertai latihan bantuan kemanusiaan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.