Finland, yang mempunyai sempadan terpanjang di Eropah dengan Rusia, pada Selasa memulakan perbahasan di Parlimen bertujuan mempercepatkan usaha negara itu untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), meningkatkan kemungkinan ia tidak akan bersama jiran dan rakan tenteranya Sweden.
Susulan kebimbangan dengan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, Finland dan Sweden menggugurkan dasar-dasar ketidakselarasan tentera mereka selama berdekad-dekad dan memohon untuk menyertai Nato pada Mei tahun lepas.
Biarpun berdepan halangan diplomatik yang minimum berbanding Stockholm, Helsinki nampaknya bersedia untuk bergerak ke hadapan walaupun sebelum pilihan raya umum Finland yang dijadualkan pada April, kerana pendapat umum juga menyokong keahlian dalam pakatan tentera itu.
Kedua-dua negara mendapat sokongan daripada semua negara kecuali dua daripada 30 anggota Nato, iaitu Hungary dan khususnya Turkiye belum memutuskan.
Ramai ahli parlimen Finland mendesak undang-undang yang mengesahkan bahawa Finland menerima syarat perjanjian Nato yang akan diluluskan sebelum pilihan raya umum pada 2 April.
Finland akan membahaskan rang undang-undang itu pada hari Selasa, bertepatan dengan lawatan Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg – yang akan bertemu dengan Perdana Menteri Sanna Marin dan Presiden Sauli Niinisto.
Undian dijangka pada Rabu, dan apabila rang undang-undang itu diluluskan bermakna Finland boleh bertindak pantas walaupun ratifikasi datang sebelum kerajaan baharu dibentuk.
Komplikasi?
Undang-undang itu dijangka diluluskan tanpa banyak tentangan, kerana undian awal pada Mei disokong oleh 188 daripada 200 ahli Parlimen.
Helsinki setakat ini menekankan keutamaannya untuk menyertai perikatan itu bersama-sama dengan Sweden, tetapi ada yang mentafsirkan rang undang-undang itu sebagai menandakan Finland bersedia untuk bergerak ke hadapan secara bersendirian.
Sementara itu Turkiye menyekat permohonan itu, menuduh Sweden khususnya menyediakan tempat selamat untuk apa yang dianggapnya sebagai "pengganas", terutamanya ahli Parti Pekerja Kurdish (PKK).
Sebaliknya, Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu berkata pada Isnin bahawa Turkiye memandang baik terhadap tawaran Finland.
"Kami mungkin memisahkan proses keahlian Sweden dan Finland," katanya.
Walaupun Sweden bersimpati dengan kedudukan Finland, Perdana Menteri Ulf Kristersson berkata penyertaan Finland sahaja boleh "menyulitkan" kerjasama ketenteraan yang erat antara negara-negara Nordik kerana Sweden ditinggalkan bersendirian di luar perlindungan Nato.