- Iklan -
Luar Sana

Kanada haramkan TikTok dalam semua peranti kerajaan

Kerajaan Trudeau bimbang ancaman aplikasi milik ByteDance Beijing selepas ia dilaporkan membenarkan kerajaan China mengakses maklumat peribadi penggunanya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Justin Trudeau berkata kerajaannya mengharamkan TikTok dalam semua peranti kerajaan atas sebab keselamatan. Gambar: Pexels
Perdana Menteri Justin Trudeau berkata kerajaannya mengharamkan TikTok dalam semua peranti kerajaan atas sebab keselamatan. Gambar: Pexels

Kanada mengharamkan TikTok dalam semua peranti kerajaan atas sebab keselamatan, dan ia mungkin menandakan permulaan tindakan lanjut terhadap aplikasi itu, kata Perdana Menteri Justin Trudeau pada Isnin.

"Ini mungkin langkah pertama, mungkin satu-satunya langkah yang perlu kami ambil, dengan setiap tindakan yang kami buat bertujuan memastikan keselamatan warga Kanada," kata Trudeau kepada pemberita sejurus selepas larangan itu diumumkan, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Kami memandang serius kebebasan bersuara, kebebasan warga Kanada mengikut kehendak mereka ketika dalam talian. Namun, kerajaan mempunyai prinsip yang sangat penting dalam perlindungan data, perlindungan keselamatan dan keselamatan warga Kanada yang akan sentiasa kami pertingkat," katanya.

Global Affairs Canada menghantar e-mel menasihati pekerjanya bahawa aplikasi platform perkongsian video itu kini diharamkan susulan semakan oleh ketua pegawai maklumat negara itu.

Larangan itu berkuat kuasa pada Selasa.

Kebimbangan terhadap aplikasi Tik Tok timbul apabila firma induk TikTok milik syarikat teknologi ByteDance Beijing, membenarkan kerajaan China mengakses maklumat peribadi pengguna TikTok.

Tindalkan itu diambil susulan siasatan ke atas TikTok yang diumumkan oleh kerajaan minggu lalu yang mendapati aplikasi itu menunjukkan tahap risiko terhadap privasi dan keselamatan yang tidak boleh diterima, kata Mona Fortier, presiden lembaga perbendaharaan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sehingga kini tiada bukti bahawa maklumat kerajaan telah dikompromi.

Tindakan oleh kerajaan Kanada itu selari dengan tindakan beberapa kerajaan lain. Suruhanjaya Eropah dan Majlis Eropah melarang aplikasi itu dan majoriti pekerja persekutuan Amerika Syarikat (AS) juga dilarang menggunakan aplikasi itu dalam telefon kerajaan.

Kongres AS sedang mengkaji undang-undang yang akan mengharamkan TikTok di seluruh negara.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.