- Iklan -
Luar Sana

Ketua PBB kutuk keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat

Kenyataan Guterres dibuat selepas puluhan peneroka Israel membakar rumah, kenderaan rakyat Palestin selain menembak mati seorang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pasukan keselamatan Israel bertembung dengan rakyat Palestin semasa serbuan di Nablus di Tebing Barat pada 22 Februari 2023. Gambar: Reuters
Pasukan keselamatan Israel bertembung dengan rakyat Palestin semasa serbuan di Nablus di Tebing Barat pada 22 Februari 2023. Gambar: Reuters

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyuarakan kebimbangannya terhadap keganasan di Tebing Barat sejak kebelakangan ini, lapor Anadolu Agency (AA).

Guterres "sangat bimbang terhadap keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat yang diduduki, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan di Huwara dekat Nablus dan menggesa supaya semua pelaku dikenakan tindakan," kata jurucakapnya Stephane Dujarric pada taklimat akhbar pada Isnin .

Berpuluh-puluh peneroka Israel menyerang bandar Huwara pada Ahad dan membakar beberapa rumah dan kenderaan Palestin. Seorang warga Palestin terbunuh dalam serangan itu.

Keganasan itu menyusuli pembunuhan dua peneroka Israel dalam tembakan di bandar itu. Selain itu, Jabatan Negara AS berkata seorang lagi penduduk Israel warga Amerika terbunuh pada Isnin.

"Tidak ada kewajaran untuk melakukan keganasan, mahupun pembakaran dan tindakan membalas dendam terhadap orang awam. Pasukan keselamatan mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan menghalang individu daripada bertindak sendiri," kata Dujarric bagi pihak Guterres.

Keganasan semakin meningkat di seluruh wilayah yang diduduki sejak beberapa minggu kebelakangan ini di tengah-tengah serbuan berulang kali tentera Israel di bandar-bandar Palestin.

Menurut angka Palestin, sekurang-kurangnya 62 rakyat Palestin terbunuh oleh serangan Israel sejak awal tahun ini. Dua belas warga Israel turut terbunuh dalam serangan oleh rakyat Palestin dalam tempoh yang sama.