- Iklan -
Luar Sana

Indonesia ikrar bebaskan juruterbang New Zealand dari pemisah Papua

Pasukan keselamatan sebelum ini berkata operasi "penguatkuasaan undang-undang" sudah dirancang, tetapi hanya sebagai pilihan terakhir jika rundingan gagal.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Lelaki dikenali sebagai Philip Mehrtens, juruterbang New Zealand yang dilapor dijadikan tebusan oleh kumpulan prokemerdekaan berdiri di sekeliling puak pemisah di wilayah Papua di Indonesia, dalam gambar tidak bertarikh yang diterbitkan pada 14 Februari 2023. Gambar: Reuters
Lelaki dikenali sebagai Philip Mehrtens, juruterbang New Zealand yang dilapor dijadikan tebusan oleh kumpulan prokemerdekaan berdiri di sekeliling puak pemisah di wilayah Papua di Indonesia, dalam gambar tidak bertarikh yang diterbitkan pada 14 Februari 2023. Gambar: Reuters

Pasukan keselamatan di wilayah Papua di Indonesia mengepung pemisah yang menahan juruterbang New Zealand, tetapi dalam masa sama mengadakan rundingan untuk pembebasannya, kata seorang pegawai keselamatan tertinggi pada Selasa.

Philip Mehrtens, juruterbang Susi Air, dijadikan tebusan oleh Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TNPB) pada 7 Februari selepas mendarat di kawasan terpencil Nduga.

Pemberontak berkata mereka tidak akan membebaskan Mehrtens, 37, melainkan kerajaan Indonesia mengiktiraf kemerdekaan wilayah itu dan mengundurkan tenteranya.

Ketua menteri keselamatan Mahfud MD berkata pasukan keselamatan telah menemui lokasi kumpulan itu tetapi akan mengelak daripada tindakan yang mungkin membahayakan nyawanya.

"Kini, mereka dikepung dan kita sudah tahu lokasi mereka. Tetapi kita mesti berhati-hati," kata Mahfud seperti dipetik media tempatan.

Beliau tidak menjelaskan lokasi atau langkah yang mungkin diambil Indonesia untuk membebaskan juruterbang itu.

Pengasas dan pemilik Susi Air berkata pada Rabu, 70% penerbangannya di wilayah itu telah dibatalkan, selain memohon maaf atas gangguan bekalan penting ke kawasan terpencil dan pergunungan.

"Mesti ada kesan kemanusiaan yang besar. Ada yang sakit dan tidak dapat ubat... dan mungkin bekalan makanan semakin kurang," kata Susi Pudjiastuti kepada pemberita.

Puak pemisah melancarkan perjuangan peringkat rendah untuk kemerdekaan sejak wilayah yang kaya dengan sumber, yang pernah ditadbir oleh Belanda, dibawa ke bawah kawalan Indonesia berikutan undian yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1969.

Pengambilan tebusan warga asing jarang berlaku dan konflik meningkat sejak 2018, dengan pemberontak kerap melakukan serangan.

Ketua tentera Indonesia Laksamana Yudo Margono berkata operasi dirumitkan dengan kehadiran orang awam di kawasan itu.

"Bukan mudah untuk menangkap kumpulan ini kerana mereka bergaul dengan penduduk tempatan. Kami akan mengutamakan langkah persuasif," katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan keselamatan sebelum ini berkata "operasi penguatkuasaan undang-undang" telah dirancang, tetapi hanya sebagai pilihan terakhir jika rundingan gagal.

Kerajaan setakat ini menggunakan tokoh-tokoh terkemuka di Papua seperti ahli politik, paderi dan pemimpin tempatan untuk berkomunikasi dengan tebusan.