- Iklan -
Luar Sana

Kedudukan Rusia di Bakhmut berisiko tanpa peluru mencukupi, kata tentera upahan Wagner

Jika Wagner berundur dari Bakhmut sekarang, seluruh bahagian hadapan akan runtuh, kata ketua tentera upahan itu.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Imej daripada perkhidmatan media Kumpulan Wagner Rusia Yevgeny Prigozhin menunjukkan tentera Wagner bergambar di papan tanda masuk ke kampung Krasna Hora berhampiran bandar Bakhmut, Ukraine, dalam gambar edaran dikeluarkan pada 12 Februari 2023. Gambar: Reuters
Imej daripada perkhidmatan media Kumpulan Wagner Rusia Yevgeny Prigozhin menunjukkan tentera Wagner bergambar di papan tanda masuk ke kampung Krasna Hora berhampiran bandar Bakhmut, Ukraine, dalam gambar edaran dikeluarkan pada 12 Februari 2023. Gambar: Reuters

Ketua tentera upahan Wagner Rusia memberi amaran kedudukan Rusia di sekitar bandar Bakhmut di timur Ukraine berada dalam bahaya melainkan tenteranya mendapat bekalan peluru, tanda terbaru ketegangan antara Kremlin dan ketua militia persendirian itu.

Pegawai tentera dan penganalisis Ukraine juga melaporkan pemimpin Briged ke-155 Rusia yang bertempur berhampiran bandar Vuhledar, selatan Bakhmut, menentang arahan untuk menyerang selepas mengalami kerugian teruk dalam percubaan untuk menawan bandar itu.

Kementerian Pertahanan Rusia pada Ahad berkata tentera Rusia menyerang pusat arahan Rejimen Azov Ukraine di tenggara wilayah Zaporizhzhia. Kementerian tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai serangan tsersebut.

Reuters tidak dapat mengesahkan keadaan medan perang secara bebas.

Ketua Wagner Yevgeny Prigozhin berkata barisan hadapan Rusia berhampiran Bakhmut mungkin akan runtuh jika tenteranya tidak menerima peluru yang dijanjikan oleh Moscow pada Februari.

"Buat masa ini, kami cuba mencari sebabnya: adakah ia hanya birokrasi biasa atau pengkhianatan," kata Prigozhin, merujuk kepada ketiadaan peluru, dalam makluman medianya melalui Telegram pada Ahad.

Ketua tentera upahan kerap mengkritik ketua pertahanan Rusia dan jeneral tertinggi. Bulan lepas, beliau menuduh Menteri Pertahanan Sergei Shoigu dan yang lain sebagai "mengkhianat" kerana menyekat bekalan peluru.

Dalam video hampir empat minit yang diterbitkan di saluran Telegram Orkestra Wagner pada Sabtu, Prigozhin berkata tenteranya bimbang kerajaan mahu menjadikan mereka sebagai kambing hitam jika Rusia kalah dalam perang.

"Jika Wagner berundur dari Bakhmut sekarang, seluruh bahagian hadapan akan runtuh," kata Prigozhin. 

"Keadaan ini tidak akan menyenangkan bagi semua formasi tentera yang melindungi kepentingan Rusia."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.