Lebih 12,000 pelarian Islam Rohingya kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran yang melanda sebuah kem di Cox's Bazar di tenggara Bangladesh, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) berkata lebih 2,000 tempat perlindungan dan lebih 90 kemudahan termasuk hospital dan pusat pembelajaran musnah dalam kebakaran Ahad lalu.
Lebih sejuta pelarian Rohingya tinggal di kem di Cox's Bazar dan kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar pada 2017.
Bangladesh sedang menyiasat punca kebakaran, kata Pesuruhjaya Bantuan Pelarian dan Penghantaran Pulang Mohammad Mizanur Rahman.
"Sebaik sahaja kami mendapat laporan itu, akan jelas sama ada ia tindakan sabotaj atau tidak," tambahnya.
Kebakaran sering berlaku di kem yang sesak dengan struktur sementaranya. Kebakaran besar-besaran pada Mac 2021 membunuh sekurang-kurangnya 15 pelarian dan memusnahkan lebih 10,000 rumah.
Penduduk Shafiur Rahman, 24, menggesa pihak berkuasa menyediakan kemudahan yang lebih baik.
"Kediaman kami dibakar di Myanmar. Sekarang kami melalui perkara yang sama di sini," katanya.
Amnesty International juga menyeru kerajaan Bangladesh menyediakan tempat tinggal yang lebih selamat untuk pelarian.
"Kerajaan harus mengiktiraf betapa bahayanya meletakkan komuniti besar dalam keadaan tidak selamat, terlampau sesak dan mengambil langkah untuk menyediakan perumahan yang mencukupi dan selamat kepada komuniti Rohingya," kata Yasasmin Kaviratne, aktivis rantau Asia Selatan organisasi itu.
Peningkatan jenayah, keadaan hidup yang sukar dan prospek suram untuk kembali ke Myanmar mendorong lebih ramai pelarian Rohingya meninggalkan Bangladesh ke negara seperti Malaysia dan Indonesia dengan menaiki bot, meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.
Data PBB menunjukkan 348 Rohingya dipercayai mati di laut tahun lalu.