- Iklan -
Luar Sana

Thailand patahkan cubaan seludup 47 kera

Kera-kera itu ditemukan dalam enam sangkar plastik di belakang pikap yang dikatakan untuk dihantar ke Nong Khai, dekat dengan Laos, menurut pihak berkuasa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seekor beruk melompat di atas sebuah kuil.
Seekor beruk melompat di atas sebuah kuil.

Pihak berkuasa Thailand mematahkan cubaan menyeludup 47 ekor kera selepas menahan sebuah pikap dalam satu pemeriksaan di Nakhon Ratchasima.

Pengarah Jabatan Pemuliharaan Taman Negara, Hidupan Liar dan Tumbuhan (DNP) di Nakhon Ratchasima, Aram Thaphiran berkata pihak berkuasa telah memintas dua pikap kira-kira 12.10 pagi waktu tempatan pada Isnin.

“Hasil pemeriksaan, pegawai menemukan 47 ekor kera yang disembunyikan dalam enam sangkar plastik di belakang satu daripada pikap itu. 

“Pegawai menahan dua pemandu berusia 37 dan 43 tahun,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata pemandu berusia 37 tahun itu memberitahu polis bahawa haiwan itu akan dihantar ke wilayah Nong Khai, dekat dengan negara jiran Laos.

Kedua-dua pemandu itu akan didakwa atas kesalahan menyeludup hidupan liar.

Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa pemandu pikap berusia 37 tahun yang mengangkut kera itu berkata dia dibayar 17,000 baht untuk mengambil sangkar haiwan dari Taman Negara Khao Takhrong di Ratchaburi dan menghantarnya ke Nong Khai.

Kedua-duanya mengakui tidak mengetahui haiwan itu dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar.