- Iklan -
Luar Sana

Kumpulan pro-Ukraine sabotaj saluran paip Nord Stream, menurut laporan perisikan AS

Pegawai AS bagaimanapun berkata tiada bukti kerajaan Ukraine terlibat, atau mengarahkan mana-mana pihak lancar serangan dasar laut itu, lapor New York Times.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Gelembung gas akibat kebocoran Nord Stream 2 naik ke permukaan Laut Baltik pada 27 September, 2022, dipercayai disabotaj oleh pihak pro-Ukraine, lapor New York Times yang memetik perisikan Amerika Syarikat. Gambar: Reuters
Gelembung gas akibat kebocoran Nord Stream 2 naik ke permukaan Laut Baltik pada 27 September, 2022, dipercayai disabotaj oleh pihak pro-Ukraine, lapor New York Times yang memetik perisikan Amerika Syarikat. Gambar: Reuters

Laporan perisikan yang disemak pegawai Amerika Syarikat (AS) mendapati kumpulan pro-Ukraine merupakan dalang serangan saluran paip gas Nord Stream, namun tiada bukti Kyiv terlibat, lapor New York Times.

Letupan bawah laut pada saluran paip antara Rusia dan Jerman berlaku di zon ekonomi eksklusif Sweden dan Denmark di Laut Baltik. Kedua-dua negara membuat kesimpulan letupan itu disengajakan, tetapi tidak menyatakan pihak mana yang bertanggungjawab.

Laporan New York Times pada Selasa memetik pegawai AS sebagai berkata tidak ada bukti presiden Volodymyr Zelensky atau pembantu tertingginya terlibat atau pelaku bertindak atas arahan mana-mana pegawai kerajaan Ukraine.

"Tanpa syak lagi, Ukraine sama sekali tidak terlibat dalam tindakan terhadap saluran paip itu," kata penasihat politik Zelenskiy, Mykhailo Podolyak dalam satu kenyataan.

"Ia sedikit pun tidak masuk akal."

AS dan Nato menggelar serangan pada 26 September itu sebagai "tindakan sabotaj", manakala Rusia menyalahkan Barat dan menggesa siasatan bebas. Kedua-duanya tidak memberikan bukti.

Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas.

Di hadapan pertempuran, tentera Rusia terus menggempur Bakhmut dan kawasan berdekatan dalam usaha untuk memastikan kemenangan besar pertama mereka sejak lebih setengah tahun.

Zelensky berikrar untuk mempertahankan bandar timur Ukraine yang terkepung itu, mengulangi kenyataannya sekali lagi pada Selasa bahawa matlamat utamanya adalah untuk menuntut semula wilayah yang diduduki.

"Kami buat segala-galanya untuk bebaskan tanah air kami secepat mungkin, untuk menamatkan secepat mungkin cubaan menafikan kemerdekaan negara dan rakyat kami," kata Zelensky dalam ucapan video yang disampaikannya setiap malam sejak seranga Rusia pada 24 Februari tahun lepas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.