- Iklan -
Luar Sana

Presiden Switzerland tentang eksport senjata ke Ukraine, ambil sikap berkecuali

Walaupun ditekan Kyiv dan sekutunya, Switzerland enggan benarkan negara yang ada senjata buatannya mengeksport semula ke Ukraine, malah menolak permintaan Jerman, Sepanyol dan Denmark.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Switzerland Alain Berset di ibu pejabat PBB, 6 Mac. Gambar: Reuters.
Presiden Switzerland Alain Berset di ibu pejabat PBB, 6 Mac. Gambar: Reuters.

Switzerland kekal menentang eksport senjata ke Ukraine, kata Alain Berset, presiden negara yang terkenal dengan sikap neutral itu  pada Selasa di luar mesyuarat di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Switzerland melarang mengeksport semula senjata Switzerland ke negara-negara yang berperang, tetapi isu sikap berkecuali negara itu menjadi perdebatan sejak pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine lebih setahun lalu.

"Perbincangan mengenai eksport senjata... sementara kami ada rangka kerja undang-undang (kami) di Switzerland, ia tidak mungkin dilaksanakan," kata Berset, yang kini memegang jawatan presiden bergilir untuk setahun, kepada pemberita.

“Bagi kerajaan dan Majlis Persekutuan, kami perlu dan mahu kekalkan rangka kerja undang-undang ini dan bekerja dalam rangka kerja undang-undang ini,” katanya.

Kenyataannya dibuat selepas Berlin pada Februari meminta pengeluar senjata Jerman Rheinmetall dibenarkan untuk memperoleh kereta kebal Swiss Leopard lama, menjamin ia tidak akan dipindahkan ke Ukraine.

Walaupun negara kaya itu, yang bukan ahli Kesatuan Eropah (EU), mengikut telunjuk blok itu mengenai sekatan yang menyasarkan Moscow, ia setakat ini menunjukkan kurang fleksibiliti terhadap neutraliti tenteranya.

"Sekatan ini, ia benar-benar serasi dengan neutraliti," kata Berset dalam bahasa Inggeris.

Walaupun mendapat tekanan daripada Kyiv dan sekutunya, Switzerland setakat ini enggan membenarkan negara yang memegang senjata buatan Switzerland mengeksport semula ke Ukraine yang dilanda perang, dan setakat kini menolak permintaan Jerman, Sepanyol dan Denmark.

Beberapa inisiatif sedang dijalankan di parlimen ke arah melonggarkan peraturan eksport semula, tetapi sebarang keputusan mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi.

Berset, yang bertemu di New York dengan ketua PBB Antonio Guterres sejurus sebelum setiausaha agung berangkat ke Ukraine, menyatakan yang parlimen Switzerland "ada banyak kemungkinan untuk mengubah undang-undang."

"Jika parlimen bersetuju untuk tukar rangka kerja undang-undang ini, maka kami akan berusaha dalam konteks rangka kerja undang-undang baharu ini, tetapi kami juga akan mengambil masa," katanya.

Beliau turut menekankan "tidak mungkin untuk membuat pengecualian kepada rangka kerja undang-undang."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.