Jurang jantina digital menghalang rantau Asia-Pasifik mencungkil bakat dalam kalangan wanita dan gadis, menurut Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP).
Dalam satu kenyataan, ESCAP memaklumkan hanya 54% wanita di rantau Asia Pasifik menggunakan internet berbanding 59% golongan lelaki.
ESCAP mendedahkan bahawa di negara berpendapatan rendah dan sederhana di rantau ini, berkemungkinan 20% wanita kurang memiliki telefon pintar atau menggunakan Internet pada peranti mudah alih berbanding lelaki.
"Selain itu, walaupun sesetengah wanita dan kanak-kanak perempuan memiliki peranti digital, mereka sering hidup dalam konteks di mana mereka tidak mempunyai autonomi untuk menggunakannya dan tidak dapat memanfaatkan alat digital untuk diri mereka sendiri," katanya.
Selain daripada akses dan kemahiran digital yang tidak mencukupi, ESCAP memaklumkan stereotaip jantina dan norma sosial terus menghalang kemajuan transformasi digital yang sama rata.
“Sensitiviti jantina dalam sistem pendidikan digital dan pembangunan teknologi baharu adalah asas untuk mengurangkan jurang capaian digital antara lelaki dan wanita,” menurut ESCAP.
Oleh itu, ESCAP menyeru semua negara untuk mengesahkan komitmen bersama supaya "tidak meninggalkan sesiapa tanpa capaian internet" dan mempercepatkan usaha ke arah membina dunia digital yang lebih selamat, boleh diakses, inklusif dan saksama untuk wanita dan gadis.
Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang dianjurkan oleh PBB di Bangkok, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Setiausaha Eksekutif Ekonomi dan ESCAP Armida Salsiah Alisjahbana berkata ruang digital masih belum neutral jantina dan jantina- inklusif.
“Akses kepada inovasi teknologi tidak sama rata di seluruh rantau Asia-Pasifik,” katanya dalam ucapan perasmiannya pada hari peringatan serantau sempena Hari Wanita Antarabangsa di Bangkok.
Hari Peringatan Wanita Antarabangsa, bertemakan DigitALL: Innovation and technology for gender equality, program itu menyerlahkan lagi peranan penting wanita dan gadis yang berusaha mengubah dunia agar saling berhubung.
Acara itu juga mempromosikan rangkaian digital yang berdaya tahan serta perkongsian rangkuman digital termasuk kerjasama serantau antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan ketersambungan yang boleh diakses dan boleh dipercayai di rantau ini.