- Iklan -
Luar Sana

Wujud ‘sabotaj terancang’ dalam kebakaran kem pelarian Rohingya, kata penyiasat Bangladesh

Hampir 2,800 tempat perlindungan dan lebih 90 kemudahan termasuk hospital dan pusat pembelajaran musnah dalam kebakaran pada 5 Mac, menyebabkan lebih 12,000 orang hilang tempat berteduh, kata pegawai.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak pelarian Rohingya duduk di atas timbunan barangan yang hangus selepas kebakaran berlaku dan memusnahkan beribu-ribu tempat perlindungan di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, 24 Mac 2021. Gambar: Reuters
Seorang kanak-kanak pelarian Rohingya duduk di atas timbunan barangan yang hangus selepas kebakaran berlaku dan memusnahkan beribu-ribu tempat perlindungan di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, 24 Mac 2021. Gambar: Reuters

Kebakaran yang menyebabkan ribuan pelarian Islam Rohingya hilang tempat tinggal di kem sementara Bangladesh adalah "tindakan sabotaj yang dirancang", kata panel penyiasat kebakaran itu semalam.

Hampir 2,800 tempat perlindungan dan lebih 90 kemudahan termasuk hospital dan pusat pembelajaran musnah dalam kebakaran pada 5 Mac, menyebabkan lebih 12,000 orang hilang tempat berteduh, kata pegawai. 

Lebih 1 juta pelarian Rohingya tinggal di puluhan ribu pondok yang diperbuat daripada buluh dan penutup plastik nipis di kem-kem di daerah sempadan Cox Bazar, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras yang diketuai tentera di Myanmar pada 2017. 

"Kebakaran itu adalah tindakan sabotaj yang dirancang," kata pegawai kanan kerajaan daerah Abu Sufian, ketua jawatankuasa siasatan tujuh anggota, memberitahu Reuters melalui telefon dari Cox's Bazar. 

Beliau berkata kebakaran itu berlaku di beberapa tempat pada masa yang sama, membuktikan ia adalah satu tindakan yang dirancang, sambil menambah ia adalah percubaan sengaja untuk mewujudkan ketuanan di dalam kem oleh kumpulan militan. Beliau bagaimanapun tidak menamakan kumpulan itu.

"Kami mengesyorkan siasatan lanjut oleh agensi penguat kuasa undang-undang untuk mengenal pasti kumpulan di sebalik kejadian itu," katanya sambil menambah bahawa laporan itu berdasarkan input daripada 150 saksi. 

Panel itu juga mengesyorkan pembentukan unit perkhidmatan bomba yang berasingan untuk kem pelarian Rohingya. 

Antara cadangan lain adalah, setiap blok kem pelarian Rohingya perlu diperluaskan untuk menampung kenderaan perkhidmatan bomba dan pembinaan tangki air, dan kem tersebut harus menggunakan bahan yang kurang mudah terbakar di tempat perlindungan. 

Kebakaran sering berlaku di kem yang sesak dengan struktur sementaranya. Kebakaran besar-besaran pada Mac 2021 mengorbankan sekurang-kurangnya 15 pelarian dan memusnahkan lebih 10,000 rumah.

Jenayah semakin meningkat, ditambah keadaan hidup yang sukar dan prospek suram untuk kembali ke Myanmar mendorong lebih ramai pelarian Rohingya meninggalkan Bangladesh dengan menaiki bot ke Malaysia dan Indonesia, meletakkan nyawa mereka dalam bahaya. 

Data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan 348 pelarian Rohingya dipercayai maut di tengah laut tahun lalu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.